ABRAHAM (kanan), Tomori (tengah) dan Mason Mount, tiga bintang muda Chelsea yang berada dalam skuad England. — FOTO Reuters
ABRAHAM (kanan), Tomori (tengah) dan Mason Mount, tiga bintang muda Chelsea yang berada dalam skuad England. — FOTO Reuters
Reuters

PEMAIN England bersedia keluar padang jika mereka menjadi mangsa cemuhan perkauman pada aksi kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Bulgaria, menurut penyerang muda Tammy Abraham.

England berdepan Czech di gelanggang lawan pada aksi Kumpulan A awal pagi Sabtu ini sebelum bertandang ke Bulgaria pada pagi Selasa bagi perlawanan yang ditutup sebahagian stadium susulan sikap perkauman penyokong tuan rumah Jun lalu.

“Jika ia berlaku terhadap seorang daripada kami, ia akan membabitkan semua,” kata Abraham kepada BBC. “Harry Kane (kapten England) malah menyatakan jika kami tidak gembira, jika seorang pemain tidak gembira, kami akan keluar padang bersama-sama.”

Protokol badan induk bola sepak Eropah, UEFA bagi menangani isu perkauman menjurus kepada pengadil dibenarkan untuk menangguhkan perlawanan jika amaran kepada penyokong supaya menghentikan serangan perkauman terhadap pemain tidak diendahkan.

TOMORI melayan soalan wartawan di pusat latihan England, St George’s Park. — FOTO Reuters
TOMORI melayan soalan wartawan di pusat latihan England, St George’s Park. — FOTO Reuters

Pengurus England, Gareth Southgate membuat perjumpaan kelmarin untuk membincangkan mengenai tindakan yang boleh dilakukan pemain jika mereka menjadi sasaran ejekan perkauman pada masa depan.

“Perjumpaan itu dibuat jika ia berlaku, malangnya ia kadang-kadang berlaku, apa yang kami perlu lakukan dan apa protokol mengenainya,” kata seorang lagi pemain England, Fikayo Tomori kepada Sky Sports.

“Beliau (Southgate) hanya memberi taklimat kepada kami apa yang akan berlaku. Kami sepatutnya bersedia kerana kami tahu kadang kala kami pergi ke satu negara dan perkara seperti itu boleh berlaku.”

England ketika ini menghuni tangga teratas kumpulan selepas mengutip 12 mata dan boleh layak ke pusingan akhir jika menewaskan pasukan tangga kedua, Republik Czech.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 12:11 PM