DUPLANTIS dua kali memecahkan rekod dunia tahun ini. FOTO AFP
DUPLANTIS dua kali memecahkan rekod dunia tahun ini. FOTO AFP
AFP

Paris: Pemecah rekod dunia, Mondo Duplantis (Sweden) dan Yuliar Rojas (Venezuela) meraih anugerah Atlet Olahraga Terbaik Dunia anjuran Persekutuan Olahraga Dunia (WA).

Dalam musim sangat diingati, termasuk Covid-19 yang mengganggu jadual pertandingan antarabangsa, Duplantis memecahkan rekod dunia lompat bergalah lelaki sebanyak dua kali.

Atlet berusia 21 tahun itu melepasi ketinggian 6.17 meter (m) dan 6.18m dalam tempoh seminggu Februari lalu, hanya seminggu sebelum Covid-19 mengganggu jadual olahraga dunia.

Apabila kejohanan kembali bersambung, Duplantis mencatat catatan peribadi terbaik musim ini dengan melakukan lompatan 6.15m untuk acara luar dewan dan menamatkan saingan dalam tempoh setahun di 16 kejohanan tanpa dikalahkan.

"Ia musim yang sangat pelik buat saya dan semua orang namun saya mampu menyesuaikan diri serta mendapat keputusan cemerlang.

"Selepas semuanya ditangguhkan dan dibawa sehingga ke penghujung musim, saya masih mampu untuk mendapat rentak terbaik, bagi saya ia adalah cukup baik berbanding saingan dalam dewan kerana saya boleh berehat selama dua bulan," katanya.

Rojas juga berjaya melakar pencapaian terbaik dalam musim yang singkat, selepas memecahkan rekod dalam dewan Amerika Selatan bagi lompat kijang iaitu kejohanan pertamanya tahun ini dengan catatan, 15.03m di Metz, Perancis.

Dia kemudiannya melakukan lompatan 15.43m di Jelajah Dalam Dewan WA di Madrid apabila memecahkan rekod dunia dalam dewan dengan hanya kelebihan tujuh sentimeter.

"Kejayaan ini sangat memberi makna buat saya dan kepada mereka yang sentiasa bekerja keras mempersiapkan saya, memberi galakkan dan kekuatan," kata Rojas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 1:34 PM