FOSBURY menjadi atlet lompat tinggi pertama menggunakan teknik lompatan ke belakang. FOTO AP
FOSBURY menjadi atlet lompat tinggi pertama menggunakan teknik lompatan ke belakang. FOTO AP
Reuters

Los Angeles: Juara lompat tinggi Olimpik, Dick Fosbury, yang merevolusikan acara itu dengan teknik lompatan berbeza yang akhirnya dipanggil sempena namanya, meninggal dunia pada pada usia 76 tahun, kata ejennya Ray Schulte semalam.

Fosbury memenangi emas dalam acara lompat tinggi Sukan Olimpik 1968 di Mexico, di mana dia menjadi atlet pertama melompat secara ke belakang melepasi palang, teknik yang dikenali sebagai 'Fosbury Flop' dan digunakan semua atlet lompatan sehingga sekarang.

"Dengan berat hati saya mesti mengumumkan bahawa rakan lama dan pelanggan Dick Fosbury meninggal dunia dengan tenang dalam tidurnya pada awal pagi Ahad selepas mempunyai penyakit limfoma berulang," tulis Schulte di Instagram.

"Legenda trek dan padang itu meninggalkan isterinya Robin Tomasi, anak lelaki Erich Fosbury dan anak tiri Stephanie Thomas-Phipps dan Kristin Thompson."

Lompat kangkang atau gunting adalah teknik biasa dalam lompat tinggi.

Tetapi apabila tilam buih diperkenalkan untuk menyambut atlet yang membuat pendaratan, Fosbury menggunakan teknik baharunya buat kali pertama di pentas dunia.

Atlet Amerika Syarikat (AS) itu mencipta rekod Olimpik ketika itu 2.24 meter untuk merangkul emas dan mengubah sukan itu selama-lamanya, dengan semakin ramai atlet mencuba lompatan ke belakang apabila teknik itu beransur-ansur mendapat penerimaan.

"Dick Fosbury sentiasa setia kepada nilai Olimpik dan berkhidmat dengan Pergerakan Olimpik dalam beberapa majlis, termasuk sebagai Presiden Olimpik Dunia. Beliau akan dikenang selama-lamanya sebagai Juara Olimpik yang cemerlang," kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach.

"Dengan teknik 'Fosbury Flop' yang hebat, Dick Fosbury bukan sahaja memenangi emas Olimpik di Mexico City 1968 tetapi juga merevolusikan lompat tinggi. Beliau benar-benar seorang perintis dan legenda Olimpik," tulis Pasukan AS di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 1:59 PM