YULIMAR tidak dapat beraksi di Olimpik Paris. FOTO REUTERS
YULIMAR tidak dapat beraksi di Olimpik Paris. FOTO REUTERS
AFP

Caracas: Juara Olimpik acara lompat kijang wanita, Yulimar Rojas berkata dia mengalami kecederaan tendon Achilles dan akan terlepas beraksi di Sukan Olimpik Paris.

Atlet Venezuela berusia 28 tahun itu berkata, dia mengalami kecederaan itu semasa latihan di Sepanyol dan sudah menjalani pembedahan di Madrid.

"Hati saya hancur dan saya ingin meminta maaf kerana tidak dapat mengambil bahagian di Paris 2024," kata Yulimar dalam satu kenyataan di akaun media sosialnya.

Dalam kenyataan itu, disertai gambarnya di atas katil hospital, Yulimar berkata ketika dia melakukan pendaratan pada sesi latihan, dia merasai kesakitan amat sangat.

"Saya merasakan kesakitan yang teruk, yang telah didiagnosis sebagai kecederaan pada tendon Achilles kiri," katanya.

Yulimar memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 dan kemudian meraih emas ketika temasya di Tokyo pada 2021.

Dia memenangi kejuaraan dunia kali keempat di Budapest tahun lalu dengan lompatan di cubaan terakhirnya.

Yulimar juga pemegang rekod dunia dalam acara itu dengan lompatan 15.74 meter (m) pada 2022.

Dia dipilih sebagai Atlet Terbaik Dunia untuk acara padang wanita tahun lalu dan akan menjadi pilihan untuk mengekalkan pingat emas di Olimpik Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 8:41 AM