Mauricio Pochettino. FOTO Reuters
Mauricio Pochettino. FOTO Reuters
Agensi

BOS Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino berkata dia tidak bimbang jika dipecat di sebalik persembahan buruk yang dipamerkan barisan pasukan kendaliannya.

Spurs tewas 0-3 di Brighton semalam untuk meneruskan minggu malang mereka yang turut menyaksikan pasukan itu dibelasah 2-7 oleh Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu.

Kelab berkenaan turut disingkirkan keluar dari saingan Piala Carabao menerusi penentuan penalti kepada kelab Liga Dua Inggeris - Colchester bulan lalu.

Apabila ditanya sama ada di bimbang akan kedudukan jawatannya, Pochettino berkata : “Tidak, saya tidak berasa bimbang, apa yang membimbangkan saya adalah kehidupan, bukan bola sepak.”

Bercakap pada sidang media selepas perlawanan di Amex Stadium, Pochettino berkata : “Bola sepak adalah permainan yang kadang kala anda menang, kadang kala anda tewas. Masalah pada kami - ialah menang, menang, menang dan ia mengejutkan pada semua pihak.

“Sekarang dalam dua perlawanan terakhir ia adalah situasi yang sukar di terima. Namun saya tidak mahu berfalsafah atau bercakap mengenai perkara yang tidak baik.”

Ini adalah kekalahan terbaharu bermakna Tottenham, yang melangkah ke final Liga Juara-Juara hanya empat bulan lalu, mempunyai 11 mata daripada 24 setakat ini pada musim ini dan gagal menang pada 10 perlawanan terakhir di gelanggang lawan dalam Liga Perdana, dengan kali terakhir kejayaan 2-1 di Fulham pada 20 Januari.

Pochettino berkata dia mengambil penuh tanggungjawab terhadap keputusan perlawanan sejak kebelakangan ini namun mengakui dia dan pasukan itu mahu mengubah nasib mereka.

“Bola sepak adalah untuk kekal kuat dan berani serta mengambil keputusan, dan untuk menunjukkan wajah anda apabila berlaku perkara yang kurang baik,” tambah pengendali Argentina itu yang mengambil alih tugas di Spurs sejak musim panas 2014.

“Itu adalah apa yang perlu saya lakukan, mengharungi perkara yang negatif dan berusaha bekerja keras untuk mengubah masalah ini. Dalam kedudukan ini saya perlu menerima semua kritikan. Cara sama anda memuji saya atau pasukan.

“Saya akan menerimanya dalam masa sama dan ia tidak akan mengubah visi saya, daripada anda atau pemerhati bola sepak kerana kritikan kepada saya atau menjelaskan situasi berbeza untuk apa yang anda harapkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 1:04 PM