NAFUZI Zain.
NAFUZI Zain.
Malik Muhamad


“FOKUS, usah leka dan dapatkan gol awal.”

Ini peringatan pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain kepada anak buahnya menjelang aksi penting bertemu Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Tegas jurulatih muda itu, kekalahan kepada Negeri Sembilan pada aksi pusingan kedua sebelum ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi begitu memeritkan ketika pasukannya berada di landasan terbaik untuk melangkah lebih awal ke suku akhir saingan Piala Malaysia.

Justeru, bekas penyerang Terengganu itu menaruh harapan tinggi kepada anak buahnya agar dapat memperagakan aksi terbaik dan konsisten untuk meraih kemenangan tanpa menunggu perlawanan terakhir Kumpulan A menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam pada 17 September ini.

“Kecergasan dan prestasi semasa pemain kini berada pada tahap terbaik selepas tempoh rehat yang panjang, ini dapat dilihat ketika aksi persahabatan menentang FELDA United dan UiTM FC pada minggu lalu.

“Namun, saya tuntut pemain buktikan kemampuan sebenar mereka kerana bagi saya perlawanan menentang Kedah paling penting lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri, jika menang sudah pasti kita layak ke suku akhir,” ujar Nafuzi.

Mengulas lanjut, beliau turut menuntut pemainnya dapat ‘mengunci’ empat tonggak berbahaya Helang Merah iaitu kapten, Baddrol Bakhtiar, Jonathan Bauman, Fernando Rodriguez dan pemain kelahiran Singapura, Shakir Hamzah yang mampu mengancam pintu gol jika tidak diawasi.

“Selain itu saya gesa pemain tidak melakukan kesalahan ke atas pemain lawan terutama berdekatan kawasan penalti kerana situasi ‘set-piece’ mampu digunakan pelawat untuk memburu jaringan jika pemain mereka tidak dikawal ketat.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:55 PM