LECLERC  (tengah) bergambar bersama pasukan  Ferrari selepas menjuarai GP Belgium  di Litar Spa-Francorchamps. - FOTO EPA
LECLERC (tengah) bergambar bersama pasukan Ferrari selepas menjuarai GP Belgium di Litar Spa-Francorchamps. - FOTO EPA
AFP

CHARLES Leclerc mendedikasikan kemenangan sulungnya di Formula Satu hari ini kepada rakan baik, Anthoine Huber, 22, yang terbunuh selepas terbabit kemalangan ketika perlumbaan Formula 2, semalam.

Leclerc kelahiran Monaco menjuarai Grand Prix Belgium dari petak utama sekali gus menghadiahkan Ferrari kemenangan amat dinantikan dan yang pertama buat pasukan itu musim ini.

Sejurus tamat perlumbaan, Leclerc berkata menerusi radio: “Kemenangan pertama saya di F1. Ini untuk Anthoine. Perasaan saya cukup baik tetapi sukar menikmati minggu seperti ini.”

Ketika ditemuramah selepas perlumbaan, pelumba berusia 21 tahun itu berkata: “Impian saya sejak kecil berjaya direalisasikan tetapi pada masa sama, ia saat sukar sejak semalam, kami kehilangan rakan dan berdepan situasi seperti ini amat sukar.

“Saya dedikasikan kemenangan pertama saya kepadanya. Kami membesar bersama, perlumbaan pertama saya dengan Anthoine ketika kami kecil dan cukup menyedihkan apa yang berlaku semalam.:

Leclerc berjaya mengetepikan saingan sengit penyandang juara dunia, Lewis Hamilton di penghujung perlumbaan sebelum memenanginya dengan kelebihan kurang satu saat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 12:15 AM