PEMAIN Batu Dua FC enggan beraksi  bertemu  Kuching FA Sabtu ini.
PEMAIN Batu Dua FC enggan beraksi bertemu Kuching FA Sabtu ini.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Hampir lima bulan tidak mendapat gaji selain tiada khabar berita berkaitan pengurusan Batu Dua FC menyebabkan pemain pasukan itu sudah tawar hati meneruskan baki perlawanan sekali gus memberi gambaran skuad berpangkalan di Pantai Timur itu bakal berkubur.

Malah, rata-rata pemain ketika ini mengambil keputusan berdiam diri dengan tidak turun latihan termasuk enggan bermain ketika bertemu dengan Kuching FA Sabtu ini.

Situasi retak menanti belah itu sudah membelenggu pasukan itu sejak tiga bulan lalu namun baru-baru ini keadaan semakin buruk apabila tiada pihak tampil menyelesaikan kemelut yang melanda skuad Batu Dua.

Seorang pemain pasukan yang hanya mahu dikenali sebagai Hamdan berkata, rata-rata pemain boleh dikatakan sudah membawa haluan masing-masing apabila tidak mendapat gaji seperti yang dijanjikan pengurusan sebelum ini.

Hamdan yang juga bekas pemain Hanelang FC berkata, penaja dan pengurusan pasukan membiarkan pemain tanpa sebarang khabar berita hingga mereka terpaksa meminjam daripada rakan dan saudara untuk meneruskan kehidupan.

“Sudah dua kali sambutan hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kami dijanjikan untuk dibayar gaji namun sekarang ini situasi tetap sama iaitu janji tinggal janji.

“Sampai bila mahu bersabar apabila ditanya mengenai tunggakan gaji mereka memberikan pelbagai alasan malah saya pernah dimarahi kerana bertanya mengenai hal itu.

“Sekarang sudah pertengahan Ogos namun gaji tetap tidak masuk sekali gus mendorong kami untuk meninggalkan pasukan atau tidak lagi bermain bagi perlawanan akan datang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan tonggak import Batu Dua, Ljuba Baranin akhirnya meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap pemilik Tulangis Group, Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohamed Rahim yang juga penaja utama pasukan itu musim ini.

Menerusi luahan Ljuba di laman Facebook miliknya, dia mengakui menerima layanan buruk daripada Hazarul atau turut dikenali dengan panggilan Tuan Muda selepas menerima cek tendang bagi mengelak untuk membayar gaji pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 6:01 AM