PEMAIN  PDRM, Ahmed Ezrie Shafizie Sazali (dua dari  kiri) mengasak penyerang  FELDA United,  Khairul Amri  di Stadium Hang Jebat,  semalam. - FOTO BERNAMA
PEMAIN PDRM, Ahmed Ezrie Shafizie Sazali (dua dari kiri) mengasak penyerang FELDA United, Khairul Amri di Stadium Hang Jebat, semalam. - FOTO BERNAMA
Nazri Abu Bakar


JURULATIH FELDA United, Mohd Nidzam Jamil berang dengan sikap selesa pemainnya selepas mendahului 3-1 ke atas PDRM yang beraksi 10 pemain namun akhirnya tewas 3-4 di Stadium Hang Jebat, semalam.

Baginya, keputusan luar jangkaan angkara kealpaan dan kelalaian pemain yang mengambil mudah cabaran lawan ketika perlawanan masih berbaki kira-kira 20 minit .

Menurutnya, mereka bermain tidak konsisten dalam tempoh 90 minit terutama memandang mudah lawan yang beraksi di Liga Perdana, mendahului 3-1 dan bermain dengan 10 pemain akhirnya membawa padah buat The Fighters.

”Hilang posisi, kawalan bola dan permainan ketika The Cops beraksi dengan kekurangan pemain pastinya mengecewakan.

”Sepatutnya mereka harus bunuh perlawanan itu dengan segera berikutan sedang mendahului, sebaliknya membiarkan tuan rumah mengejar kelebihan jaringan sehingga menyamakan kedudukan dan akhirnya memenangi perlawanan sesuatu yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Nidzam berkata, dalam bola sepak tempoh dua atau tiga minit sekalipun amat berharga berikutan ia boleh mengubah keputusan keseluruhan dalam tempoh sepanjang saingan sebelumnya.

Kenyataan bekas pemain pertahanan kebangsaan itu jelas benar berikutan dua minit terakhir The Cops berjaya menyamakan kedudukan 3-3 menerusi R Gopinathan m-88 dan gol kemenangan menerusi Azmizi Azmi pada minit ke-90 perlawanan.

Pada pertemuan terbabit, FELDA membuka jaringan seawal minit ke-9 menerusi S Chanturu dan dua gol menerusi penyudahan menarik import Singapura Khairul Amri (m-18 dan m-56 ), sementara Patrick Ronaldinho dan Gopinathan masing-masing turut menyumbang gol pertama dan kedua PDRM (pada m-36 dan 78) bagi meningkatkan saingan ke atas pelawat.

Baginya, keputusan itu bukan sebab strategi atau perancangan diaturkan namun lebih kepada tindakan dan sikap alpa pemain itu sendiri. Justeru, dia mahu pemain memfokuskan perlawanan berdepan Melaka United (MU) selepas ini dan segera mengubah sikap negatif terbabit.

Sementara itu, jurulatih PDRM, E Elavarasan berkata, kegigihan mencuba dan mengosongkan pemikiran ketika sedang ketinggalan 0-1 dan 1-3 menjadi titik tolak kejayaan pasukannya bangkit menewaskan The Fighters.

Katanya, sikap positif terbabit amat wajar dipuji sekalipun di ambang kekalahan kepada lawan yang memberi tekanan sejak awal permainan.

"Saya menjangka keputusan seri, namun mata maksimum diraih memberi kelegaaan buat kami bagi mengharungi saingan berdepan Selangor selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 6:31 PM