BARISAN kesebelasan PDRM  yang menentang  Melaka United di Stadium Hang Jebat,  semalam. - FOTO Rasul Azli Samad
BARISAN kesebelasan PDRM yang menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, semalam. - FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar


JURULATIH PDRM, E Elavarasan mengakui ketiadaan empat tonggak utama ketika berdepan Melaka United (MU) memberi kesan kepada prestasi pasukan apabila tewas 1-3 kepada Melaka United di Stadium Hang Jebat, semalam.

Baginya, situasi terbabit dimanfaatkan lawan yang bijak menambah jaringan pada babak kedua selepas keputusan terikat 1-1 pada 45 minit pertama.

Apapun, dia tetap memberi pujian kepada pemainnya yang terus memberi tekanan kepada tuan rumah dan hampir melakukan kejutan.

"Keseluruhannya, persembahan tetap memuaskan terutama berjaya mencipta gol seawal minit ke-8 namun jaringan terbabit gagal dipertahankan selepas ditekan hebat tuan rumah. Malah, lawan berjaya menambah dua gol pada babak kedua yang membolehkan mereka meraih mata penuh dalam aksi pertama Kumpulan D terbabit," katanya.

Gol sulung The Cops dicetak import Korea Selatan, Lee Chang Hoon sementara jaringan kemenangan skuad Hang Tuah menerusi Nazrin Nawi (m-11, 61) serta Patrick Raichelt m-56.

Bekas pengendali Terengganu, PKNS dan FELDA United terbabit turut bangga dan positif dengan usaha anak buahnya membentuk keserasian yang efektif pada saingan terbabit.

Malah, dia turut menilai beberapa pelbagai aspek kelebihan pemain yang diturunkan berikutan terdapat dalam kalangan mereka bakal membarisi kesebelasan pertama berdepan FELDA Rabu ini di gelanggang sama.

Pada aksi semalam, The Cops kehilangan empat pemain akibat penggantungan perlawanan membabitkan kapten pasukan Shahril Saa'ri, Uche Agba, Khairul Izuan Abdullah dan R Gopinathan yang berstatus pinjaman.

Sehubungan itu, kembalinya mereka bersama pasukan Rabu ini pasti menambah sengat PDRM untuk mencatat keputusan terbaik bagi menghidupkan peluang mara bersaing ke peringkat suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 8:19 PM