Suresh raih pingat perak. FOTO fail NSTP
Suresh raih pingat perak. FOTO fail NSTP
Azlan Muhammad Zain


TRIO paralimpik negara yang diketuai juara dunia, S Suresh hampir melakar kejutan bergelar juara kebangsaan edisi ke-43 pada final acara berpasukan recurve, hari ini.

Bagaimanapun mereka terpaksa akur kecundang di pentas final apabila tumbang kepada PDRM dengan lawan menang 5-3 dalam saingan empat set pada aksi di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, Kuala Lumpur.

Ia sekali gus menyaksikan gandingan Suresh bersama-sama Hasihin Sanawi dan Ahmad Jaffry Jamaluddin akur meraih perak dengan lawan diketuai pemenang emas Sukan SEA 2015, Mohd Ikram Joni bergelar juara.

"Saya tidak kecewa. Sudah lama paralimpik tidak menang pingat di Kejohanan Memanah Kebangsaan. Kami sudah memberikan yang terbaik.

"Mungkin rakan sepasukan tidak mendapat rentak dalam final," kata Suresh yang terlepas gangsa dalam saingan individu.

Emas acara individu lelaki menampilkan pertarungan dua pemanah ATM dengan juara diraih Tengku Wira Raja Yahya menewaskan Zainudin Abdul Rashid 6-5.

Saingan yang berlangsung sejak Rabu lalu menyaksikan tiada kelibat pemanah negara apabila mereka akan berlepas menyertai siri kedua Piala Asia di Taiwan pada Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 11:51 PM