PAULA menang Masters Evian pada usia 18 tahun. — FOTO Getty Images
PAULA menang Masters Evian pada usia 18 tahun. — FOTO Getty Images
AFP

BEKAS juara Terbuka AS, Paula Creamer menghasilkan satu daripada pusingan terbaiknya apabila mencatat 64 pada hari pertama Kejuaraan Evian, satu daripada lima kejohanan utama dalam jelajah golf wanita.

Pemain berusia 32 tahun itu kelihatan tenang dalam cuaca panas Perancis yang mana suhu mencecah 35 Celsius, membenam tujuh birdie dalam laluan pusingan tanpa bogey untuk mendahului satu pukulan di puncak carta pendahulu.

“Kali pertama saya datang ke sini dan saya lihat semuanya berwarna merah jambu jadi saya fikir tempat ini adalah untuk saya dan kemudian saya menang!” kata Paula yang hanya berusia 18 tahun apabila dia meraih kejuaraan Masters Evian pada 2005, sebelum ia diberi status sebagai kejohanan utama.

Ia juga kali pertama dia mendahului pada kejohanan utama sejak dia menang Terbuka AS 2010 di Oakmont.

Kecederaan pergelangan tangan di Evian dua tahun lalu menjejaskan musimnya pada 2018 dan kini Paula menghuni ranking ke-156 dunia.

Tidak jauh ketinggalan rakan senegara dari Amerika Syarikat, Brittany Altomare, yang kalah menerusi penentuan playoff di tangan Anna Nordqvist di sini dua tahun lalu dan dua pemain Korea Selatan, Park Inbee dan Ko Jin Young.

Inbee, pemenang tujuh kejohanan utama yang berusia 31 tahun, belum pernah menang di Evian.

Jin Young turut beraksi hebat selepas menjuarai kejohanan ANA Inspiration di California Mei lalu yang melonjakkannya ke tangga nombor satu dunia selama 12 minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 11:39 AM