Ai mahu bersara dengan kemenangan Jelajah LPGA.
Ai mahu bersara dengan kemenangan Jelajah LPGA.
AFP

EVIAN, Perancis: Bintang golf Jepun, Ai Miyazato berharap dapat mengakhiri karier 11 tahun dalam Jelajah LPGA dengan bergaya minggu ini apabila mengintai kejuaraan utama sulung pada Kejohanan Evian.

Pemain sensasi ketika remaja yang muncul pemain nombor satu wanita dunia tujuh tahun lalu, Ai sudah memenangi Kejohanan Evian dua kali pada 2009 dan 2011 namun sebelum ia disenaraikan sebagai kejuaraan utama kelima dalam jelajah wanita.

“Ini pastinya satu daripada kejohanan kegemaran saya,” ujar pemain berusia 32 tahun itu, yang menang 27 kali di seluruh dunia, menjelang pusingan pertama esok.

“Saya gembira ia kejohanan terakhir saya.

“Saya tidak tahu apa akan dilakukan selepas ini. Saya sebenarnya tidak membuat sebarang keputusan lagi kerana saya mahu memberi fokus terhadap setiap kejohanan sebelum saya bersara.”

Bapa Ai yang juga jurulatihnya Masaru, rebah di lapangan menjelang Terbuka British di Scotland dan beliau masih belum cukup sihat untuk berkunjung ke Perancis.

“Minggu ini perasaan agak bercampur baur antara pahit dan manis,” kata Ai, kini menghuni ranking ke-108 dunia.

“Saya gembira tapi saya juga sedih pada masa sama untuk bersara kerana seperti saya katakan sebelum ini, saya akan merindui semua rakan dalam Jelajah. Bapa sakit menyebabkan saya sedar keluarga perlu diutamakan.

“Beliau seorang yang hebat. Beliau pastinya seorang jurulatih yang bagus dan juga seorang bapa yang baik serta seorang rakan karib. Saya percaya terhadapnya. Kadang-kadang kami bergaduh juga. Saya agak degil tapi beliau tetap tabah menerimanya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 3:35 PM