PASUKAN UiTM FC berpeluang mara ke suku akhir Piala Malaysia.
PASUKAN UiTM FC berpeluang mara ke suku akhir Piala Malaysia.
Malik Muhamad

“INI kumpulan paling menarik,” ujar ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria selepas pasukannya diundi bersama juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala Malaysia yang bakal bermula pada Ogos ini.

Selain skuad Harimau Selatan yang diletakkan pasukan pilihan, dua lagi pasukan bakal bertarung merebut dua slot ke peringkat suku akhir dalam Kumpulan B ialah PKNP FC dan Petaling Jaya City FC (PJ City).

Beliau menyatakan apa yang menarik ialah pasukannya berpeluang bertemu JDT yang juga juara enam kali berturut-turut liga utama itu.

“Ini peluang menarik dan pengalaman berharga kepada pemain untuk membuktikan kemampuan mereka bertemu juara Liga Super yang juga kelab pertama dari Malaysia yang bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Selain itu, saya percaya dan yakin pemain kami terdiri daripada penuntut universiti lebih matang bersaing dalam Liga Perdana musim depan selain dapat merasai pengalaman menentang JDT terutama di Larkin,” ujar Ismail.

Mengulas lanjut, Ismail yang penah melakar sejarah membawa pasukan kerdil, Sime Darby FC mara ke pentas final Piala FA pada 2012 sebelum tumpas 0-1 kepada Kelantan menyifatkan undian dalam kumpulan itu adalah adil.

“Saya sifatkan undian dalam kumpulan itu adil dan bukan berat sebelah. Ini kerana pasukan PJ City pernah menumpaskan skuad itu 1-0 pada aksi Liga Super sebelum ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

"Pasukan kami juga pernah menundukkan PKNP 2-1 pada aksi persahabatan awal tahun ini biarpun tewas 1-2 kepada PJ City pada aksi pusingan pertama Piala FA musim ini dan ia antara yang menarik dalam Kumpulan B.

“Bagaimanapun, saya akui aksi Piala Malaysia berbeza berbanding dengan aksi dalam liga, saya tidak nafikan dua lagi pasukan Liga Super itu (PKNP dan PJ City) selain JDT adalah pencabar terkuat untuk merebut satu slot lagi ke suku akhir.

“Kami tidak akan memberi laluan mudah ataupun membenarkan pintu gol dibolosi lawan sebaliknya bertekad untuk melakar kejutan dalam saingan piala berprestij itu.

“Namun begitu, JDT pasukan pertama yang saya jangka akan layak lebih awal ke peringkat suku akhir manakala peluang tiga lagi pasukan adalah seimbang," kata Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 8:28 PM