Undian Piala FA pusingan ketiga di Mercu Mustapha Kamal, Neo Damansara. FOTO Owee Ah Chun.
Undian Piala FA pusingan ketiga di Mercu Mustapha Kamal, Neo Damansara. FOTO Owee Ah Chun.
Firdaus Hashim


ULANGAN final Piala FA 2016 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PKNS FC bakal menghangatkan lagi pusingan ketiga saingan Piala FA dengan kedua-dua pasukan akan berentap di Stadium Larkin pada 17 April ini.

Nyata ia antara aksi paling mencuri tumpuan daripada tujuh perlawanan lain dengan masing-masing mahu memburu tiket ke suku akhir kejohanan.

Di atas kertas laluan skuad PKNS FC tampak berliku terutama apabila mereka bakal berkunjung ke gelanggang keramat skuad Harimau Selatan yang sukar digugat oleh mana-mana pasukan.

Bagaimanapun, pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid enggan mengangkat bendera putih terlalu awal apabila beliau percaya pengendali pasukan, Datuk K Rajagobal pasti mempunyai strategi tersendiri untuk membalas kekalahan di pentas final Piala FA tiga musim lalu itu.

"Bukan mudah sebenarnya nak menundukkan JDT lebih-lebih lagi bermain di tempat mereka tapi dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku.

"Kita tetap akan tampil dengan permainan kita dan cuba mendapatkan gol awal atau cuba mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti sekali gus mengejutkan pemain JDT nanti," katanya sebaik berakhirnya majlis undian Piala FA hari ini.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Marzuki Sulong (kanan) melakukan undian pasukan Kedah bertemu pasukan PJ City pada undian Shopee Piala FA pusingan ketiga. Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Marzuki Sulong (kanan) melakukan undian pasukan Kedah bertemu pasukan PJ City pada undian Shopee Piala FA pusingan ketiga. Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Sementara itu, pasukan UKM FC yang beraksi di Liga Perdana bakal menempuh ujian berliku apabila diundi berdepan juara bertahan, Pahang yang ketika ini berada pada prestasi terbaik di Liga Super.

Jelas pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin, skuad Tok Gajah bimbingan Dollah Salleh pastinya muncul sebagai pilihan utama untuk mara ke pusingan berikutnya.

"Kami berharap peluang yang ada dapat dimanfaatkan oleh pasukan saya. Bertemu Pahang yang bermain dalam Liga Super bukan mudah namun kami akan cuba lakukan terbaik.

"Kalah menang itu perkara kedua, sebaliknya matlamat kami adalah ilmu yang boleh kami pelajari untuk jadi lebih baik di masa hadapan," kata Sulaiman yang membimbing pasukan muncul naib juara Piala Cabaran pada musim lalu.

Aksi lain membabitkan pertembungan menarik antara Selangor dan FELDA United, PKNP FC akan menentang sama ada PDRM atau Sarawak, Kelantan United bertemu Terengganu FC, Jerantut FA lawan Perak, Kedah lawan PJ City FC manakala Pulau Pinang dijadual bertemu Kuala Lumpur.

Pusingan ketiga Piala FA dijadual berlangsung pada 17 April ini. Juara Piala FA akan meraih slot automatik ke kelayakan Liga Juara-Juara Asia (AFC) 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 8:30 PM