JDT menjadi pasukan pilihan utama musim baharu Liga Super. FOTO Johor Southern Tigers
JDT menjadi pasukan pilihan utama musim baharu Liga Super. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Ketika aksi saingan Liga Super yang bermula dengan pertembungan merebut Piala Sumbangsih, juara sembilan kali liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak bersikap bersederhana untuk memulakan kempen apabila melayani kunjungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.

Walaupun pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang hanya menyasarkan untuk berada di kelompok tiga terbaik dalam kancah liga elit domestik, sebaliknya ia adalah cabaran yang harus digalas pemain-pemain skuad Harimau Selatan untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi sebanyak sembilan kali.

"Untuk musim ini kita menyasarkan untuk berada di kelompok tiga terbaik manakala saingan Piala FA kita sasarkan layak ke suku akhir dan pada saingan Piala Malaysia pemain muda akan diberikan keutamaan untuk beraksi.

"Ia bagi memberi ruang kepada mereka mendapat minit permainan dan kita juga akan bersaingan di Liga Juara-Juara Asia (ACL). Kita cuba untuk melepasi saiingan peringkat kumpulan dan jika ada rezeki akan masuk ke suku akhir," kata Tunku Ismail.

Bagaimanapun, Tunku Ismail sememangnya mempunyai visi dan misi malah sentiasa mahukan terbaik buat JDT dan pastinya usaha untuk mengekalkan kejayaan merangkul empat piala iaitu Piala Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih pada musim lalu tampak ingin diteruskan biarpun sedar bakal berdepan kepayahan.

Apapun, semuanya akan bermula dengan perebutan Piala Sumbangsih menentang skuad kendalian jurulatih baharu TFC, Tomislav Steinbruckner, Sabtu ini dan JDT yang juga dibimbing pengendali baharu, Esteban Solari pasti mahu memulakan kempen liga dengan langkah kanan sekali gus mengekalkan piala yang dimenangi JDT lima musim berturut-turut sejak 2018.

Sudah pasti penyokong JDT menanti kesebelasan utama pilihan Solari bagi menentang TFC tatkala skuad Harimau Selatan membawa masuk beberapa muka baharu iaitu bekas pemain Sepanyol Bawah 19, Juan Muniz, Endrick dos Santos, Diogo Luis Santo, Oscar Arribas dan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bagi membentuk kejituan skuad itu pada musim ini.

Bekas pengendali Bawah 23 tahun Argentina itu juga pasti memilik bayangan kesebelasan utama selepas mengharungi pramusim di Dubai, Emirah Arab Bersatu (UAE) apabila beraksi menentang pasukan yang berada di tahap tinggi terutama kelab dari Russia, Zenit St Peterburg yang berada di ranking terbaik dunia.

Untuk berdepan TFC, Jumaat ini, penyerang sensasi iaitu Bergson Da Silva mempunyai rekod yang sangat cemerlang bersama JDT pada musim 2022 selepas meledak 41 gol daripada 31 perlawanan bersama pasukan Harimau Selatan bakal menjadi taruhan terbaik mengemudi jentera serangan.

Bagaimanapun, kelibat Fernando Forestieri sama ada diturunkan atau sebaliknya belum ada kepastian memandangkan pemain itu perlu bersaing dengan Diogo yang pulang semula selepas tamat kontrak bersama pasukan BG Panthum United yang berpangkalan di Thailand manakala Arif Aiman Hanapi bakal menjadi pilihan di posisi sayap kanan.

Di posisi tengah, Leandro Velazquez bakal bersaing dengan Endrick dan Juan Muniz yang akan menyaksikan perebutan posisi berkenaan malah akan lebih mencabar pada musim ini selain kelibat Oscar Arribas yang menunjukkan konsistensi ketika aksi pramusim di Dubai, UAE, baru-baru ini.

Agak menarik adalah siapa yang bakal mengemudi gawang gol apabila kelibat Farizal Marlias yang masih relevan dengan corak permainan mantap akan bersaing bersama penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan yang turut memperagakan aksi konsisten ketika diturunkan pada aksi persahabatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 12:25 PM