CHEONG JUN HOONG
CHEONG JUN HOONG
Mohd Khairie Khalid


PENERJUN negara, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong terus kempunan untuk memenangi pingat menerusi acara 10 meter (m) platform wanita dalam Siri Terjun Dunia FINA kedua di Fuji, Jepun, hari ini.

Kedua-dua atlet itu terkandas di pusingan separuh akhir sekali gus menyaksikan kedua-dua atlet ini menamatkan saingan di tangga kelima masing-masing pada pusingan separuh akhir.

Pada edisi di Beijing, China, Ahad lalu, Jun Hoong turut gagal mara ke final apabila menamatkan saingan di tangga kelima selepas mengumpulkan 312.70 pada pusingan separuh akhir B sementara Pandelela pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat di final dengan kutipan 353.85 mata.

Hari ini, dalam peringkat separuh akhir A, Jun Hoong hanya mengutip 299.25 mata sementara Pandelela pula mengumpulkan 321.10 mata dalam pusingan separuh akhir B.

“Terjunan hari ini kurang baik tetapi saya sudah mencuba,” kata juara terjun dunia 2017, Jun Hoong mengulas mengenai prestainya dalam acara berkenaan, ketika dihubungi, hari ini.

China terus mendominasi acara ini apabila Zhang Jiaqi meraih emas dengan kutipan 390.35 mata manakala rakan senegara, Ren Qian memenangi perak (375.45) dan gangsa milik Minami Itahashi dari Jepun (368.70).

Dalam pada itu, seorang lagi penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dijadual beraksi dalam acara 3m papan anjal wanita esok.

Semalam, gandingan Jun Hoong dan Pandelela meraih pingat gangsa acara 10 meter platform seirama wanita dengan kutipan 310.32 secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 7:25 PM