PANDELELA (kanan) mengutip 353.85 mata di final.
PANDELELA (kanan) mengutip 353.85 mata di final.
Mohd Khairie Khalid


HASRAT melihat dua ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong terus gah dalam Siri Piala Dunia di Beijing tidak kesampaian apabila masing-masing gagal meraih pingat, sebentar tadi.

Pandelela menamatkan aksi final acara terjun 10 meter platform wanita di kedudukan keempat, sementara juara dunia, Jun Hoong gagal ke saingan final.

Penerjun China mendominasi pingat emas dan perak dalam acara ini, menyaksikan Zhang Jiaqi bergelar juara dengan kutipan 439.10 mata, sementara rakan senegara, Ren Qian, 432.30.

Kim Kuk-hyang dari Korea Utara memenangi gangsa dengan jumlah mata sebanyak 369.55, sekaligus mengatasi Pandelela yang mengutip 353.85 mata di final.

Jun Hoong pula terpaksa berpuas hati dengan kutipan 312.70 mata pada pusingan separuh akhir B dan hanya menamatkan aksi di kedudukan kelima.

Begitupun Jun Hoong sebelum ini tidak meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya menyifatkan sudah cukup baik buat dirinya kerana dapat beraksi serta memberikan saingan di Beijing.

Jumaat lalu, Jun Hoong dan Pandelela berjaya meraih pingat perak acara terjun 10 meter platform seirama dengan kutipan 312.24 mata daripada lima terjunan yang dilakukan.

Kejayaan itu memberikan tonik terbaik menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 9:55 PM