Faizal berkorban demi negara. FOTO NSTP
Faizal berkorban demi negara. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


PENYERANG sensasi skuad hoki negara, Faizal Saari satu ketika dahulu mungkin pernah dilabel sebagai 'budak nakal' kerana isu disiplin tetapi komitmennya bersama skuad kebangsaan tidak perlu dipertikaikan.

Terbaru penyerang berusia 28 tahun itu melakukan pengorbanan besar meninggalkan isterinya, Syaidatul Afyna Badrul Hamidi yang sedang sarat mengandung anak kedua untuk menyertai skuad negara ke siri jelajah Eropah.

"Ini mungkin salah satu pengorbanan terbesar yang saya lakukan untuk skuad kebangsaan.

"Sebenarnya bukan saya saja, sebelum ini ada beberapa pemain lain seperti penjaga gol, S Kumar juga pernah mengalami situasi sama.

"Isteri saya dijangka bersalin pada 3 Ogos dan ketika itu saya berada di Eropah. Urusan bersalin isteri saya akan dilakukan oleh keluarga mentua," katanya.

Ini bukan kali pertama Faizal berdepan situasi itu sebaliknya ia pernah berlaku ketika isterinya melahirkan anak pertama mereka, Faleeq Jafran pada 2016.

Ketika itu Faizal memilih untuk bersama skuad kebangsaan menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan dan dia diberikan pelepasan seketika untuk menemani isterinya ketika proses melahirkan Faleeq sebelum kembali semula membantu skuad kebangsaan.

Sementara itu mengulas peluangnya terpilih ke siri jelajah Eropah, Faizal mengakui teruja untuk turun beraksi.

"Sebab kami akan bertemu antara pasukan terbaik di dunia.

Ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana sebelum ini sukar untuk kami bertemu dengan pasukan gergasi," katanya.

Skuad negara akan berkelana di Eropah hampir sebulan bermula 21 Julai ini dengan bertemu pasukan seperti Jerman, Belanda, England dan Belgium sebagai persiapan menghadapi aksi play off kelayakan Sukan Olimpik yang dijadual berlangsung pada November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 3:58 PM