KOMALAM (dua dari kiri) terlepas aksi Sukan SEA 2017.
KOMALAM (dua dari kiri) terlepas aksi Sukan SEA 2017.
Aida Adilah Mat


TIADA kompromi bagi mana-mana atlet yang mempunyai masalah disiplin apabila atlet pecut S Komalam Shally menjadi atlet pertama digugurkan dari skuad olahraga negara kerana masalah itu.

Biarpun temasya Sukan SEA Kuala Lumpur hanya berbaki 10 hari, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan Komalam daripada skuad.

Perkara itu disahkan oleh Pengurus Pasukan Olahraga negara ke Sukan SEA, Datuk Salim Parlan selepas menghadiri sesi pendengaran bersama jawatankuasa bebas yang diketuai oleh Naib Pengerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Tegas Salim, penamaan atlet bermula dengan jawatankuasa pemilihan KOM dengan kuasa sepenuhnya terletak di tangan KOM.

“Pengguguran Komalam dibuat atas rentetan beberapa peristiwa yang disebabkan oleh disiplin atlet itu. Nasihat, peringatan, ulangan dan amaran sudah diberi. Tapi perkara ini terus berulang.

“Jadi KOM perlu buat keputusan dan saya sendiri yang mencadangkan kepada KOM untuk menggugurkan Komalam selepas berbincang dengan jurulatih yang bertanggungjawab.

“Demi keharmonian pasukan perkara ini perlu dilakukan kerana detik-detik terakhir ini boleh mengganggu persediaan pasukan. Maka dengan ini keputusan untuk menggugurkan Komalam perlu dilakukan,” katanya.

Menurut Salim, Komalam digugurkan daripada pasukan pada 4 Ogos dengan Komalam membuat rayuan sehari selepas itu.

Semalam beliau menegaskan KOM tetap dengan keputusan untuk menolak rayuan Komalam.

Pengguguran itu bermakna hanya Zaidatul Husniah Zulkifli akan beraksi dalam acara 200m dengan tempat Komalam dalam acara 4x100m akan ditentukan kelak.

Kata Salim, ketiadaan Komalam bagaimanapun tidak menjejaskan sasaran pingat negara kerana dia tidak diletakkan dalam senarai atlet yang mampu menyumbang emas.

Catatan terbaik atlet berusia 29 tahun itu dalam acara 100m adalah 11.76saat yang dilakukan tahun lalu dan turut berada dalam kuartet 4x100m yang memegang rekod kebangsaan 45.18s bersama-sama Zaidatul Husniah, Siti Fatimah Mohamad dan Nurul Faizah Asma Mazlan ketika Kejohanan Trek dan Padang Asia di India bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 10:30 PM