BRAZIL (jersi kuning) gagal mengatasi Venezuela di Salvador, Selasa lalu. — FOTO Reuters
BRAZIL (jersi kuning) gagal mengatasi Venezuela di Salvador, Selasa lalu. — FOTO Reuters
AFP

PEMAIN Venezuela berharap memberikan ‘keseronokan’ kepada rakyat mereka yang sudah lama menderita apabila mereka bertemu Bolivia menyedari kemenangan akan melayakkan mereka ke suku akhir Copa America.

Venezuela melakar sejarah dalam pertandingan itu selepas seri 0-0 dengan Brazil Selasa lalu sekali gus muncul pasukan pertama memulakan kejohanan dengan dua keputusan seri tanpa jaringan.

Dalam dua perlawanan menentang Peru dan Brazil, Venezuela menyaksikan pintu gol mereka dibolosi lima kali, namun setiap kali gol itu dibatalkan, empat daripadanya oleh VAR.

Ia bermakna kemenangan ke atas Bolivia di Belo Horizonte pagi esok akan menyaksikan mereka mara ke peringkat kalah mati.

Pemain sedar ia pasti diraikan di seluruh negara yang mengalami krisis kemelesetan ekonomi selama lima tahun, kekurangan bahan keperluan asas dan pertelingkahan politik membabitkan Presiden Nicolas Maduro dan pemimpin pembangkang Juan Guaido.

“Kami berpeluang untuk memberikan kegembiraan kepada negara kami ketika rakyat memerlukan keseronokan,” kata penyerang Fernando Aristeguieta, “sekalipun ia mungkin hanya untuk beberapa hari.”

Venezuela mengalami krisis kemanusiaan dengan satu perempat daripada 30 juta penduduknya memerlukan bantuan, menurut Pertubungan Bangsa-bangsa Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 2:01 PM