MARIA ketika menentang pemain Sweden, Rebecca Peterson pada pusingan kedua Terbuka Australia, Januari lalu. — FOTO Reuters
MARIA ketika menentang pemain Sweden, Rebecca Peterson pada pusingan kedua Terbuka Australia, Januari lalu. — FOTO Reuters
Reuters

MARIA Sharapova menyatakan dia mendapat inspirasi daripada kekuatan Rafael Nadal untuk pulih ketika dia meneruskan karier yang terjejas kerana kecederaan di Santa Ponsa, Mallorca, minggu depan.

Pemain Russia berusia 32 tahun iu tidak bermain aksi kompetitif sejak menarik diri pada Terbuka St Petersburg Januari lalu dan menjalani pembedahan bahu kanannya beberapa minggu kemudian.

Dia kembali beraksi pada kejohanan gelanggang rumput Terbuka Mallorca minggu depan apabila dia bersiap sedia bagi menghadapi Wimbledon, kejohanan yang melonjakkan nama dan tuahnya 15 tahun lalu apabila dia meraih kejuaraan ketika masih remaja.

Maria sedang berlatih di gelanggang rumput di pulau Balearic ketika Nadal memenangi kejuaraan Terbuka Perancis kali ke-12 hujung minggu lalu, selepas pulih daripada kecederaan lutut.

MARIA ketika menghadiri Anugerah Akademi ke-91 di California, AS, Februari lalu. — FOTO Reuters
MARIA ketika menghadiri Anugerah Akademi ke-91 di California, AS, Februari lalu. — FOTO Reuters

“Dia seorang pejuang sejati dan satu contoh menakjubkan mengenai apa yang boleh anda capai jika anda mempunyai kemahuan dan seronok dengan apa yang anda lakukan,” kata Maria hari ini.

“Saya sering mengagumi bagaimana dia bangkit daripada semua kecederaan dialaminya dan dia seorang contoh hebat.

“Sukan ini terlalu fizikal, terutama cengan cara dia bermain, tapi dia yakin dengan apa yang dilakukannya serta optimis dia boleh kembali dan bergelar juara. Dia banyak memberi motivasi.”

Juara Grand Slam lima kali itu yang kini menghuni ranking ke-86 dunia berkata, dia sudah tidak berasa sakit dan gembira kembali ke gelanggang sekalipun mengakui ujian sebenar adalah ketika perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 9:57 PM