PENGUNJUNG boleh mengadakan aktiviti memancing pada bila-bila masa dan lokasi kolam juga berdekatan chalet.
PENGUNJUNG boleh mengadakan aktiviti memancing pada bila-bila masa dan lokasi kolam juga berdekatan chalet.
Samadi Ahmad


IBARAT permata tersembunyi yang terletak di pinggir ibu kota dengan keindahan belantara dan bukit bukau melatari landskapnya.

Itu antara keunikan D'Taj Sungai Lui Homestay yang turut menjadi syurga kegilaan kaki pancing dan golongan yang mahukan tempat percutian mendamaikan tidak jauh dari ibu kota.

Perjalanan menuju inap desa ini hanya mengambil masa 30 minit dari Ampang menuju Jalan Hulu Langat sebelum tiba ke lokasinya yang terletak di Batu 25, Jalan Sungai Lui.

Bukan memuji, namun inap desa ini mempunyai segalanya untuk percutian keluarga, malah setaraf dengan kebanyakan inap desa tersohor di Janda Baik, Pahang.

Tidak terlalu 'serabut' berikutan D'Taj Sungai Lui Homestay menawarkan unit penginapan terhad bagi memastikan keselesaan setiap pengunjung sepanjang bercuti di situ.

Antara kediaman minimalis ditawarkan adalah rumah Mawar, rumah Teratai, rumah Raflesia, rumah Cempaka, rumah Kemboja dan banglo besar.

Harga ditawarkan cukup berbaloi dengan kemudahan dan persekitaran mesra kanak-kanak terutama bagi individu yang mementingkan aktiviti untuk anak-anak.

Tanpa klorin, air bukit semula jadi yang disalurkan terus ke kolam renang juga cukup sejuk walaupun ketika matahari berada tepat atas kepala. Tidak hairan kanak-kanak cukup liat meninggalkan kolam renang di sini walaupun selepas berjam-jam lamanya berendam.

Terdapat tiga kolam memancing ikan menanti pengunjung dengan cabaran berbeza.

Di sini wujudnya 'penunggu' keli Afrika seberat lebih 10 kilogram, begitu juga ikan patin yang menjangkau berat lebih lima kilogram selain baung ganas yang licik menyelinap dan meloloskan diri. Tidak terkecuali ratusan talapia merah dan hitam yang rakus menyambar umpan.

Bagaimanapun, bagi menawan patin, baung, pacu atau keli Afrika, anda perlu bereksperimen dengan umpan terlebih dahulu.

Di sini tidak cukup dengan roti dan dedak berikutan selera ikan agak pelbagai dan pelik bermula dari roti, dedak, cengkerik hingga kepada kelapa sawit peram.

Biarpun airnya kelihatan tenang, namun jangan terleka berikutan joran anda boleh melayang masuk dalam kolam sebaik patin atau baung menyentap kuat umpan dalam sekelip mata.

Bagi pemancing 'beginner' atau kanak-kanak yang pertama kali memegang joran, kolam ikan di sini tidak pernah mengecewakan.

Talapia hitam atau talapia merah pelbagai saiz begitu mudah dikail.

Tidak perlu menunggu lama berikutan talapia terus menyerbu umpan sebaik ia dicampak ke kolam.

Untuk membawa pulang hasil tangkapan atau memasaknya di dewan makan disediakan, pengunjung hanya perlu membayar harga minimum mengikut berat dan spesies ikan berjaya dijinakkan.

Jika datang dalam keluarga besar, tidak perlu gusar penyediaan makanan berikutan di sini turut dilengkap dapur terbuka dengan kemudahan peti sejuk, dapur memasak, pinggan mangkuk, kemudahan barbeku dan pelbagai peralatan lain.

Malah, ruang makan terbuka mampu memuatkan sehingga 50 orang cukup sesuai untuk aktiviti berkumpulan atau atau pertemuan keluarga sambil mengadakan acara 'makan-makan' atau sukaneka.

Kemudahan padang futsal dan trampolin turut menjadi tarikan bagi kanak-kanak melakukan aktiviti sampingan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 6:45 AM