HAIRI (kiri) menunjukkan ikan jerung Rangge Tooth seberat 320 kg yang berjaya dipancing di Pantai Port Elizabeth, Afrika Selatan. FOTO ihsan pembaca
HAIRI (kiri) menunjukkan ikan jerung Rangge Tooth seberat 320 kg yang berjaya dipancing di Pantai Port Elizabeth, Afrika Selatan. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


DIA kaki pancing tetapi bukan sebarangan kaki pancing kerana ikan yang dipancing hanya jenis jerung yang lazimnya bersifat agresif dan terkenal sebagai pemangsa.

Kegilaan pemuda dari Singapura itu menyebabkan dia sanggup membelanjakan RM10,000 untuk ke Afrika Selatan pada setiap tahun semata-mata untuk melayan minat memancing pelbagai jenis jerung di negara berkenaan.

Hairi Yusof, 27, berkata, dia meminati hobi memancing itu sejak berusia lima tahun dan sehingga kini ribuan ikan pelbagai jenis pernah dinaikkan menggunakan pancing.

“Saya mencari kepuasan melalui aktiviti memancing itu. Kerana sudah terlalu lama memancing, saya memerlukan cabaran baru.

“Pengalaman mendaratkan pelbagai jenis ikan laut dan sungai sudah biasa bagi saya sekali gus membawa saya kepada kegiatan memancing jerung yang terkenal dengan tabiat agresifnya.

“Cabaran ketika melayan jerung yang sangat kuat dan agresif itu menyebabkan saya ketagih seterusnya sentiasa ingin ke Pantai Port Elizabeth, Afrika Selatan untuk melepaskan gian,” katanya ketika ditemui selepas menyertai ekspedisi memancing toman di Tasik Kenyir, baru-baru ini.

Hairi berkata, sejak terbabit dengan aktiviti memancing ikan jerung pada 2017, dia sudah berjaya menaikkan lebih 40 jerung pelbagai jenis termasuk Rangged Tooth dan Bronze Whaler.

“Paling besar yang pernah saya naikkan ialah jenis Rangged Tooth betina seberat 320 kilogram (kg). Melihat giginya saja pun sudah menakutkan.

“Jerung jenis biasa banyak yang dinaikkan dan rata-rata hanya seberat 150 kg ke bawah sahaja.

“Uniknya hobi itu kerana saya memancing hanya sekadar ingin melayan kekuatan ikan melarikan umpan dan bukan bertujuan menangkapnya atau dibawa pulang,” katanya.

Menurutnya, ikan jerung yang berjaya dipancing biasanya diletakkan penanda khas sebelum dilepaskan dan bukan untuk dimakan atau dijual seperti segelintir pemancing.

“Saya cintakan keindahan alam semula jadi termasuk hidupan di dalam air justeru saya dan rakan sebolehnya memulihara kehidupan laut dengan sebaik mungkin,” katanya.

Bercerita mengenai teknik memancing yang digunakan katanya, ramai yang silap faham dan menyangka dia menggunakan teknik ‘casting’ ketika memancing jerung.

“Saya menggunakan kail dan menjadikan kepala ikan tongkol sebagai umpan ketika memancing jerung.

“Joran yang digunakan juga bukan joran biasa kerana joran untuk memancing ikan agresif itu perlu sepanjang 4.2 meter dan bersesuaian.

“Kadang-kadang saya menggunakan dron untuk membawa umpan ke kawasan tengah laut pada jarak 300 hingga 400 meter kerana permukaan yang dalam di sesetengah pantai sangat jauh daripada daratan,” katanya.

Hairi berkata, ikan jerung memang sukar untuk ditewaskan dan tidak ramai kaki pancing yang mampu menaikkannya.

“Kesabaran paling penting ketika memancing jerung terutama yang bersaiz besar. Paling cepat untuk menewaskan jerung mengambil masa selama satu jam 30 minit dan paling lambat dua jam.

“Jika mental tidak kuat dan cepat mengalah, pemancing tidak akan berjaya menewaskan jerung di Afrika Selatan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 3:04 PM