Agensi

NEYMAR dilucutkan lilitan kapten Brazil untuk saingan Copa America bermula bulan depan.

Skuad itu akan mempunyai kapten baru dan dia akan digantikan oleh rakan sepasukan, Paris Saint-Germain (PSG), Dani Alves.

Copa America akan dilangsungkan bermula 14 Jun hingga 7 Julai dengan Brazil selaku tuan rumah.

Brazil yang tidak memenangi gelaran itu sejak 2007 akan membuka kempen menentang Bolivia di Sao Paulo sebelum berdepan Venezuela dan Peru.

“Daniel Alves akan menjadi kapten pasukan kebangsaan Brazil pada perlawanan persahabatan menentang Qatar serta Honduras dan Copa America Brazil 2019,” menurut persekutuan bolasepak negara itu (CBF) dalam kenyataan, hari ini.

Jurulatih Brazil, Tite memberitahu Neymar, Sabtu lalu, dia tidak akan menjadi kapten Brazil di Copa America.

Neymar digantung tiga perlawanan oleh pihak berkuasa bolasepak Perancis, awal bulan ini kerana memukul peminat selepas PSG tewas pada Stade Rennes pada final Piala Perancis.

Dia juga dilaporkan terbabit dalam perang mulut dengan rakan sepasukan PSG dalam bilik persalinan pemain.

Video rakaman insiden menunjukkan bintang Brazil itu menumbuk seorang penyokong Rennes ketika dalam laluan untuk mengambil medal naib juara.

Dia juga dilucutkan status kapten disebabkan masalah disiplin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 5:38 PM
Neymar akan digantikan oleh Dani Alves selaku kapten Brazil. FOTO AFP
Neymar akan digantikan oleh Dani Alves selaku kapten Brazil. FOTO AFP