NEYMAR (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang Copa America. — FOTO Reuters
NEYMAR (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang Copa America. — FOTO Reuters
Reuters

PEMAIN tengah Brazil, Fernandinho menyokong Neymar dan berharap tuduhan rogol dihadapi bintang Paris Saint-Germain itu tidak menjejaskan persiapan mereka menghadapi Copa America.

Terdahulu Neymar mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang salah laku dalam kes itu yang timbul beberapa jam terdahulu apabila kementerian keselamatan awam Sao Paulo mengesahkan seorang wanita membuat dakwaan itu.

Wanita itu, yang tidak didedahkan namanya, menuduh Neymar memperkosanya di bilik hotel di kota Paris pada 15 Mei lalu.

Penyerang PSG itu kemudian mengepos video di laman Instagram menafikan semua tuduhan, menyatakan dia menjadi mangsa pemeras ugut dan kesal dengan dakwaan yang menjejaskan reputasi dirinya dan keluarga.

NEYMAR (tengah) tiba di pusat latihan Granja Comary di Teresopolis dengan menaiki helikopter. — FOTO EPA
NEYMAR (tengah) tiba di pusat latihan Granja Comary di Teresopolis dengan menaiki helikopter. — FOTO EPA

Video itu menunjukkan apa yang diperkatakannya dalam mesej WhatsApp apabila dia berhubung dengan mangsa, termasuk gambar lucah yang dihantar wanita itu kepadanya.

“Saya mendengar mengenai perkara menyedihkan ini dan saya fikir ia pelik,” kata Fernandinho, seorang daripada pemain paling berpengalaman dalam skuad kepada wartawan di pusat latihan pasukan kebangsaan di pinggir Rio.

“Tapi saya fikir ia akan diselesaikan secepat mungkin dan saya percaya Neymar tidak bersalah. Kami pemain dan staf kejurulatihan akan memberikan sokongan kepadanya jadi ia tidak akan memberi kesan di tengah padang.”

Neymar tiba di pusat latihan itu awal pagi tadi dengan helikopter peribadi namun dia tidak bercakap kepada wartawan.

Brazil bersiap sedia sebagai hos Copa America, kejohanan menampilkan 10 pasukan kebangsaan Amerika Selatan termasuk pasukan jemputan Jepun dan Qatar, bermula 14 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 8:30 AM