BELOTTI diperlukan Itali bagi menghadapi kelayakan Euro 2020.
BELOTTI diperlukan Itali bagi menghadapi kelayakan Euro 2020.
AFP

PENYERANG Torino, Andrea Belotti disenaraikan semula dalam skuad Itali bagi menghadapi kelayakan Euro 2020 menentang Greece dan Bosnia bulan depan tetapi penyerang Marseille, Mario Balotelli tidak diperlukan Azzurri.

Belotti yang tersisih daripada aksi antarabangsa sejak September lalu tersenarai dalam skuad kendalian Roberto Mancini tetapi penjaga gol AC Milan, Gianluigi Donnarumma tersisih akibat kecederaan hamstring.

Balotelli yang menjaringkan lapan gol dalam 15 perlawanan sejak menyertai kelab Perancis itu pada Januari lalu tidak beraksi pada peringkat antarabangsa sejak September lalu.

Penjaga gol Roma, Antonio Mirante yang pernah beraksi ketika Itali dikendalikan Antonio Conte, menggantikan Donnarumma dan penjaga gol Atalanta, Pierluigi Gollini turut disenaraikan kali pertama selepas kejayaan kelabnya mara ke kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.

Penyerang Cagliari, Leonardo Pavoletti bakal bergandingan dengan Belotti, Stephan El Shaarawy dan bintang Sampdoria, Fabio Quagliarella, 36, yang muncul penjaring terbanyak Serie A dengan 26 gol.

Itali akan menentang Greece pada 8 Jun di Athens sebelum menerima kunjungan Bosnia di Turin pada 11 Jun. Itali kini menduduki tangga teratas Kumpulan J hasil dua kemenangan daripada dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 7:46 AM