Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berpandangan Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Datuk Seri Shahidan Kassim wajar menurut nasihat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kedudukan Shahidan selaku Presiden ASUM dipertikai apabila Menteri di Jabatan Perdana itu mempertahankan jawatannya pada mesyuarat agung tahunan (AGM) baru-baru ini walaupun ada peraturan tidak membenarkan menteri menerajui persatuan sukan.

Khairy pada minggu lalu meminta Shahidan mengosongkan jawatan berkenaan atau sekiranya masih mahu memegangnya, Shahidan perlu memohon pengecualian daripada jemaah menteri.

“Khairy sudah membuat keputusan tidak mahu lagi menyokong, Shahidan perlu mengikutnya. Namun sekiranya Shahidan mendapat kelulusan (Perdana Menteri), beliau bernasib baik,” kata Kok Chi semalam.

Tambah Kok Chi, MOM tidak campur tangan dalam sebarang pemilihan jawatan persatuan sukan kebangsaan dan membiarkan proses demokrasi berjalan.

“Ia hak mereka, kita tidak mempunyai sebarang kuasa kerana ahli gabungan persatuan sukan kebangsaan yang membuat keputusan. Ia hal dalaman persatuan,”katanya

Pandangan sama disuarakan Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tunku Ja’afar dengan menjelaskan larangan itu tidak diwujudkan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:23 AM