PEMAIN Terengganu FC, Adib Aizudin Ab Latif meraikan jaringan gol pada perlawanan pada aksi perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium  Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC, Adib Aizudin Ab Latif meraikan jaringan gol pada perlawanan pada aksi perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


DISIPLIN kunci kejayaan pasukan. Itu rumusan pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain selepas pasukannya berjaya menamatkan kemarau kemenangan dalam tiga aksi terdahulu apabila menang tipis 1-0 ke atas Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Nafuzi yang baru mengambil alih tugas itu bermula Rabu lalu selepas Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan secara mengejut juga mengakui semangat juang yang tinggi untuk menang selain perubahan taktikal dan formasi antara elemen kejayaan pasukannya.

"Bagi saya walaupun hanya kemenangan tipis, ia cukup bermakna dan penting buat kami kerana berjaya mengutip tiga mata penuh.

"Bagi saya kunci kemenangan kami kerana semua pemain mempamerkan disiplin, usaha serta kerja keras mereka selain semangat untuk menang, saya hanya 10 peratus sahaja manakala 90 peratus lagi adalah semua pemain di atas padang.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan pemain tetapi kita memerlukan masa lagi untuk menjadikan pasukan ini benar-benar mantap," kata Nafuzi.

Pada aksi itu, kapten Selangor, K Sarkunan 'menghadiahkan' gol kepada TFC apabila dia tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-90 perlawanan dalam usahanya untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Mengulas lanjut, Nafuzi bagaimanapun mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan skuadnya terus mempamerkan peningkatan.

"Bagi saya semua posisi pemain masih lemah dan perlu diperbaiki, tidak ada pasukan yang sempurna, tetapi selepas ini kita akan buat analisis di mana kesilapan dan kelemahan serta kekurangan pasukan kami," kata bekas pemain Terengganu itu.

Dengan kemenangan itu, skuad Penyu melonjak di tangga kelima liga dengan mengumpul 20 mata manakala Selangor kekal di tangga keempat dengan mengutip 22 mata daripada 15 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 11:50 AM