PEMAIN TFC giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam esok. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN TFC giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam esok. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Mampukah Terengganu FC (TFC) mengulangi kejayaan menumpaskan Selangor FC sebagaimana aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Mac lalu atau skuad Penyu bakal menangis?

Ini persoalan yang bermain di kalbu peminat setia pasukan itu ketika skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain itu kini berada di landasan terbaik untuk mengutip tiga mata berdepan skuad The Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Pada aksi pusingan pertama, skuad Penyu yang kini menghuni di kedudukan kedua Liga Super berjaya melakar kemenangan 3-1 dalam aksi stadium kosong tanpa penonton, situasi sama pada malam esok sekali lagi bakal berlaku apabila peminat tidak dibenarkan masuk bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, dengan peningkatan corak permainan skuad kendalian bekas pemain Jerman, Karsten Neitzel yang juga berada dalam prestasi terbaik tanpa kekalahan sejak lima perlawanan lalu ditambah ketajaman penjaring terbanyak liga setakat ini, Ifedayo Olusegun, sudah pasti memberi kesukaran buat pemain TFC untuk meneruskan rentak kemenangan.

Perkara ini diakui Nafuzi yang menegaskan skuad Gergasi Merah itu semakin meningkat prestasi dan bahaya, malah tidak sama sepertimana ketika TFC menundukkan pasukan itu di Kuala Terengganu sebelum ini.

"Saya perhatikan prestasi skuad Selangor FC agak melonjak, pemain muda mereka nampak semakin menyerlah, begitu juga persefahaman pemain mereka yang kian bertambah mantap.

"Selangor akan menjadi pasukan kuat dan secara diam akan melonjak di kedudukan lebih baik, jadi bukan tugas mudah buat TFC biarpun menang pada aksi pusingan pertama, pemain perlu lebih fokus dan waspada dengan helah pemain lawan," katanya kepada Sukan NSTP.

Mengulas lanjut beliau kembali lega apabila pertahanan kiri, Arif Fadzilah Abu Bakar sudah kembali daripada menjalani penggantungan satu perlawanan.

"Saingan liga semakin mencabar, kita lihat setiap minggu carta liga berubah membabitkan empat pasukan teratas dan ini bagus untuk kerancakan pasukan, tapi pemain perlu mengekalkan konsentrasi dalam setiap perlawanan untuk mengutip mata," jelas Nafuzi yang akui ada beberapa aspek kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang pertemuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 3:57 PM