ROOFE melakukan percubaan secara sepakan gunting ke arah pintu gol Derby. — FOTO Reuters
ROOFE melakukan percubaan secara sepakan gunting ke arah pintu gol Derby. — FOTO Reuters
AFP

KEMAR Roofe memberikan Leeds United kemenangan 1-0 di Derby County pada separuh akhir pertama playoff Liga Kejuaraan Inggeris menyaksikan tuan rumah berang dengan keputusan penalti kontroversi yang ditarik balik.

Roofe meledak masuk pada awal babak kedua bagi gol keempatnya menentang Derby musim ini selepas persembahan dominan anak buah Marcelo Bielsa.

Namun Leeds berasa lega apabila pengadil Craig Pawson mengubah keputusannya untuk memberikan anak buah Frank Lampard sepakan penalti 12 minit sebelum tamat selepas Jayden Bogle dan Jack Harrison bertembung dalam kotak penalti.

Bantahan keras Derby tidak diendahkan dan kini mereka perlu bangkit pada aksi kedua di Elland Road Rabu ini, dengan tiada pasukan pernah layak ke final playoff Liga Kejuaraan selepas kalah aksi pertama di laman sendiri.

PEMAIN Derby, Richard Keogh (kiri) membantah keputusan pengadil. — FOTO Reuters
PEMAIN Derby, Richard Keogh (kiri) membantah keputusan pengadil. — FOTO Reuters

“Jika anda tanya semua dalam bilik ini (sidang media) sesetengah akan menyatakan ya dan sesetengah tidak. Saya faham. Cuma saya agak terkejut pengadil pada perlawanan sebegini tidak mengendahkan pandangan penolongnya,” kata Lampard.

Bielsa berkata, beliau tidak melihat insiden penalti itu dan menambah: “Saya fikir kami memang berhak menang. Kami menguasai bola, kami bertahan dengan baik dan kami mencipta peluang berbahaya.”

Ia kontroversi terbaharu membabitkan Leeds dan Derby musim ini.

Kemenangan Leeds ke atas Derby Januari lalu dibayangi dengan skandal ‘pengintip’ selepas Bielsa mengakui beliau menghantar stafnya untuk mengintip latihan Rams sehari sebelum perlawanan.

Bielsa kemudian mengakui beliau menghantar staf untuk menyaksikan “sesi latihan semua lawannya”, dengan Leeds didenda £200,000 (RM1.08 juta) oleh Liga Bolasepak kerana insiden itu.

Leeds mengintai peluang kembali ke Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun dan mereka berpeluang cerah layak ke final di Wembley menentang Aston Villa atau West Bromwich Albion pada 27 Mei ini. Villa mendahului 2-1 selepas aksi pertama, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 8:17 AM