LUIZ bantu Chelsea mara ke final Liga Europa musim ini. — FOTO Reuters
LUIZ bantu Chelsea mara ke final Liga Europa musim ini. — FOTO Reuters
Reuters

PERTAHANAN Chelsea, David Luiz menandatangani sambungan kontrak dua tahun hingga 2021, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Pemain kebangsaan Brazil itu melakukan 48 penampilan dalam semua pertandingan musim ini, membantu kelab London itu memastikan penamat empat teratas dan layak ke final Liga Europa yang mana mereka bertemu musuh setempat London, Arsenal.

“Saya terlalu gembira untuk berada di sini dan berpeluang untuk kekal. Saya sayangkan kelab ini dan masih mempunyai impian seperti pemain muda,” kata pemain berusia 32 tahun itu kepada laman web kelab.

“Ia terlalu bermakna untuk layak ke satu lagi final Eropah dan kami masih ada peluang untuk berakhir dalam kelompok tiga teratas Liga Perdana musim ini dan saya akan terus cuba melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan.”

LUIZ menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Eintracht Frankfurt di Stamford Bridge, awal pagi semalam. — FOTO Reuters
LUIZ menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Eintracht Frankfurt di Stamford Bridge, awal pagi semalam. — FOTO Reuters

Selepas tidak begitu dipedulikan di bawah bekas bos Antonio Conte musim lalu, Luiz muncul pemain tonggak utama di bawah pengurus Maurizio Sarri.

Luiz sudah melakukan 246 penampilan dan menjaringkan 18 gol buat kelab itu dalam dua tempoh permainan, menyertai mereka semula pada 2016 selepas menghabiskan tiga musim di kelab Perancis, Paris Saint-Germain.

Pasukan tangga ketiga Chelsea bertandang ke Leicester City Ahad ini bagi perlawanan terakhir liga musim ini. Final Liga Europa pada 29 Mei ini di Baku, Azerbaijan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 7:35 AM