CABRERA (kanan) meraikan gol kedua bersama rakan sepasukan. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
CABRERA (kanan) meraikan gol kedua bersama rakan sepasukan. -Foto MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor

 

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan teratas liga selepas membenam PKNS FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kemenangan itu amat bermakna buat skuad Harimau Selatan selepas bangkit daripada kekalahan 4-0 di tangan Persija Jakarta pada aksi Piala AFC, Selasa lalu, dan dua gol jaringan Gonzalo Cabrera pada babak pertama dan kedua selain gol jaringan Safawi Rasid sudah cukup untuk skuad bimbingan Raul Longhi menemui rentak kemenangan,

Tuan rumah mula menunjukkan penguasaan seawal minit keenam apabila bola lontaran jauh Corbin Ong tepat kepada Ahmad Hazwan Bakri yang bertindak melakukan tandukan namun bola sekadar sipi daripada gawang gol.

Bola lorongan Corbin pada minit ke-13 hampir memerangkap penjaga gol pelawat, Shahril Sa'ari selepas Cabrera yang menyambar bola hantaran itu sekadar menolak jauh daripada gawang gol.

Namun selang seminit, asakan berterusan tuan rumah menjelmakan gol yang dinanti skuad Harimau Selatan apabila Cabrera yang menerima bola umpanan Nazmi Faiz Mansor bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret menewaskan Shahril.

Tersentak dengan jaringan tuan rumah itu, anak didik Datuk K Rajagobal cuba menyusun gerakan untuk memburu gol penyamaan namun setiap taktikal yang dirancang mudah dipatahkan gandingan Marcos Antonio dan Fadhli Shas yang kembali menguatkan benteng Harimau Selatan.

Bersambung babak kedua, anak didik Longhi terus menggandakan asakan dan pada minit ke-50 Cabrera meledak gol kedua peribadi selepas bijak melakukan sepakan percuma untuk menewaskan Shahril.

Pelawat yang ketinggalan dua gol, cuba untuk menambah sengat di posisi serangan dengan memasukkan bekas penyerang JDT, Safee Sali pada minit ke-59 dan mengeluarkan Khyrill Muhymeen Zambri yang kurang berkesan di posisi itu.

Ternyata JDT berada dalam kelas tersendiri apabila menambah duka PKNS FC pada minit ke-66 selepas Safawi bijak melencongkan bola dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kanan gawang gol, berpunca daripada bola umpanan Cabrera untuk meletak tuan rumah selesa dengan jaringan 3-0.

Bagaimanapun kerancakan aksi itu dicemari dengan tindakan Romel Morales yang melakukan terjahan keras terhadap Nazmi Faiz pada minit ke-77 dan mengundang rasa tidak puas hati pemain tuan rumah namun pengadil, Mohd Zohri Tajuddin sekadar melayangkan kad kuning kepada Morales.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 12:31 AM