Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah empat musim berturut-turut selepas mudah menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 pada aksi Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Jaringan 'ayam tambatan' skuad Harimau Selatan, Safawi Rasid pada babak pertama dan Natxo Insa pada babak kedua sudah memadai buat pasukan itu mengutip tiga mata dalam saingan pembuka tirai Liga Super sekali gus memastikan skuad Lang Merah terus kempunan dua musim berturut-turut membawa pulang piala itu.

Tuan rumah yang menguasai perlawanan mengundang cemas seawal minit keempat selepas bola rembatan Leandro Velazquez di luar kotak penalti sekadar singgah palang gol ketika penjaga gol KDA FC, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim sudah tertewas.

Palang gol terus menjadi penghalang anak didik Benjamin Mora untuk meleraikan jaringan pada minit ke-10 selepas bola tandukan ke belakang Fernando Rodriguez di sambar Gonzalo Cabrera yang merembat bola kencang di sebelah sudut kiri namun masih belum mampu menggegar jaring.

Giliran skuad Lang Merah pula terlepas mencipta gol pada minit ke-19 selepas sepakan lambung Kpah Sherman di luar kotak penalti hampir memerangkap penjaga gol JDT, Farizal Marlias namun palang gol menjadi penyelamat daripada gawang dibolosi.

Tuan rumah menanti sehingga minit ke-34 untuk memecah kebuntuan selepas gerakan menarik yang dimulakan Afiq Fazail mengumpan bola tepat kepada Safawi Rasid yang bertindak memusingkan badan sebelum merembat bola leret menewaskan Mohd Ifwat.

Skuad Lang Merah tampak gagal menguasai posisi tengah pada babak pertama apabila dua tenaga import, Rabih Ataya dan K Anumanthan gagal berfungsi dengan konsisten dan jarang memberi sokongan terhadap barisan serangan diterajui Sherman dan Kipre Tchetche.

Babak kedua menyaksikan skuad Harimau Selatan terus memberi tekanan terhadap benteng anak didik Aidil Shahrin Sahak sehingga memaksa Mohd Ifwat terpaksa dikeluarkan pada minit ke-50 apabila bertembung dengan Safawi dan digantikan dengan Mohd Shahril Sa'ari.

JDT menambah derita skuad Lang Merah pada minit ke-67 selepas bola umpanan Rodriguez membuka ruang buat Insa yang tidak dikawal merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Mohd Shahril untuk meletak juara liga tujuh musim berturut-turut selesa dengan jaringan 2-0.

Usaha Aidil Shahrin membawa masuk bekas pemain JDT II, Rozaimi Abd Rahman dan Syazwan Zainon bagi memperkuatkan jentera serangan tampak tidak membuahkan hasil selepas kedudukan 2-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

Pemain Johor DT, Safawi Rashid melepasi halangan dua pemain Kedah pada aksi Piala Sumbangsih 2021. FOTO Zain Ahmed
Pemain Johor DT, Safawi Rashid melepasi halangan dua pemain Kedah pada aksi Piala Sumbangsih 2021. FOTO Zain Ahmed

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 11:02 PM