NIK Akif (kiri) beraksi ketika menentang Selangor pada aksi Piala FA, baru-baru ini. — FOTO Zaman Huri Isa
NIK Akif (kiri) beraksi ketika menentang Selangor pada aksi Piala FA, baru-baru ini. — FOTO Zaman Huri Isa
BERNAMA

PEMAIN tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat terlepas peluang beraksi menentang Negeri Sembilan malam esok selepas dia digantung dua perlawanan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana berkelakuan ganas ketika menentang Sarawak, 6 April lalu.

Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan pemain skuad Bawah 23 negara itu bersalah menumbuk perut pemain Sarawak, Badrul Hisham Hussein pada aksi Liga Perdana di Stadium Negeri, Kuching.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, keputusan dibuat pada mesyuarat semalam dengan satu penggantungan secara automatik iaitu ketika Kelantan menentang PDRM pada 12 April lalu.

Nik Akif turut diberi amaran keras selain dikenakan hukuman lebih berat sekiranya mengulangi kesalahan sama, katanya dalam kenyataan hari ini.

KELANTAN (jersi hitam) tidak boleh menurunkan Nik Akif menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu, malam esok. — FOTO Mohd Azren Jamaludin
KELANTAN (jersi hitam) tidak boleh menurunkan Nik Akif menentang Negeri Sembilan di Kota Bharu, malam esok. — FOTO Mohd Azren Jamaludin

Baljit berkata, dua pemain Liga M3 dikenakan penggantungan enam perlawanan sementara seorang lagi digantung empat perlawanan termasuk denda RM500.

Jasmir Mehat (SAMB FC) dan Rizqi Azman (DDM FC) digantung enam perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik namun kedua-duanya digantung bagi tiga perlawanan terlebih dahulu manakala baki ditangguhkan, tertakluk kepada kelakukan baik pemain selama enam bulan dari tarikh penerimaan keputusan.

“Jika mereka didapati bersalah mengulangi kesalahan sama, baki hukuman penggantungan tiga perlawanan ini akan berkuat kuasa dengan serta-merta,” katanya.

Pemain Tun Razak FC, Firdaus Yusof pula dikenakan penggantungan empat perlawanan dan denda RM500 kerana menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 6:54 PM