PASUKAN Perlis yang beraksi dalam Liga Perdana sudah berkubur susulan masalah kewangan. — FOTO Luqman Hakim Zubir
PASUKAN Perlis yang beraksi dalam Liga Perdana sudah berkubur susulan masalah kewangan. — FOTO Luqman Hakim Zubir
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

HAMPIR dua bulan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) digantung menyertai sebarang pertandingan anjuran Liga Bolasepak Malaysia, kini muncul syarikat swasta dari Petaling Jaya menunjukkan minat untuk menubuhkan pasukan bola sepak swasta atau Perlis FC di negeri itu.

Syarikat yang dikenali sebagai Harini Sdn Bhd kini sedang mengorak langkah dengan mewujudkan liga tempatan atau Liga Bolasepak Harini dalam mencari pemain berbakat sebagai langkah persediaan menyertai kancah Liga Malaysia tahun depan.

Jurucakap Harini, Nor Azhar Mohd Rosli mengakui, sebelum ini syarikat itu menunjukkan minat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan PFA, namun atas faktor tertentu mereka tidak meneruskan hasrat itu.

“Perbincangan serius antara kami belum ada dan apa yang sedang dibuat Harini (Liga Harini) adalah pembangunan bola sepak di Perlis melalui cara kami.

“Jadi Harini adalah satu entiti yang bergerak sendiri dan kami tidak terbabit dengan PFA baik secara langsung mahupun tidak,” katanya ketika ditemui malam tadi pada majlis perlancaran Liga Bolasepak Terbuka Harini.

Nor Azhar berkata, PFA masih wujud sebagai persatuan bola sepak negeri itu dan pihaknya juga sudah bertemu untuk memaklumkan kewujudan liga itu ke arah mewujudkan Perlis FC tahun depan.

“Kami tidak ganggu perjalanan PFA, Perlis FC pula adalah hak individu atau swasta dan pasukan berteraskan perniagaan dan sebagai tanda penghormatan kami sudah maklumkan kepada mereka mengenai objektif Liga Harini,” katanya.

Sementara itu, bekas pengendali skuad Piala Presiden Perlis, Manja Man berkata, kehadiran syarikat swasta yang bertujuan membangunkan bola sepak di Perlis sesuatu yang ditunggu-tunggu peminat negeri itu.

Manja yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal Liga Harini mengakui kewujudan liga itu menandakan pembangunan sukan bola sepak Perlis masih hidup.

“PFA sudah berkubur, jadi perlu ada syarikat swasta yang bergerak untuk membangunkan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Liga itu akan bermula hujung bulan ini dan menghimpunkan 25 pasukan bola sepak tempatan dan antarabangsa seperti Thailand dan Indonesia.

Juara Liga Harini berpeluang mewakili Perlis FC dalam Liga M3 tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 12:58 PM