PEMAIN  Perlis FC bergambar selepas majlis pelancaran pasukan di Kangar semalam.
PEMAIN Perlis FC bergambar selepas majlis pelancaran pasukan di Kangar semalam.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SERAMAI 15 daripada 18 bekas pemain Perlis Northern Lion 2 (PNL2) yang sebelum ini menyara kehidupan sebagai nelayan dan pencuci kereta, mampu menarik nafas lega apabila mereka ditawarkan menyertai pasukan Perlis FC.

Selain pemain, bekas jurulatih Piala Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Manja Man turut dilantik sebagai ketua jurulatih Perlis FC dan akan mengendalikan skuad itu yang dijangka menyertai kancah liga tempatan tahun depan.

Tawaran menyertai pasukan yang dimiliki Harini Sdn Bhd itu menjadi petanda positif bahawa karier bola sepak pemain berkenaan masih belum berkubur, meskipun sebelum ini mereka tidak menerima mana-mana tawaran bermain dengan pasukan dalam kancah Liga Malaysia.

Bekas Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata, dia bersama rakan bersyukur apabila masih ada pihak yang sudi membantu menyelamatkan karier mereka.

“Kami berharap selepas ini perjalanan kami dipermudahkan kerana sudah penat apabila sebelum ini kami seakan dipermainkan pihak tidak bertanggungjawab. Memang saya berharap dengan tertubuhnya Perlis FC ini, ia dapat mengembalikan semula pembangunan bola sepak negeri ini selepas kemelut yang melanda PFA sejak tahun lalu seolah-olah melumpuhkan sukan ini di Perlis,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Skuad Perlis FC, kelmarin.

Ezzrul berkata, dia kini mahu fokus bersama pasukan baharu yang disertainya itu selain berharap isu gaji tidak timbul lagi.

“Sudah dua musim kami terkena (tidak dibayar gaji) dan perkara itu nyata memberi kesan besar sehingga ada rakan pasukan berhenti bermain bola sepak. Jadi selepas ini tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada persediaan dan ujian pemilihan pemain bagi membentuk pasukan,” katanya.

Sementara itu, Manja Man berkata, dia tidak berniat untuk membelakangi PFA dengan menerima tawaran mengendalikan Perlis FC.

“Pembangunan bola sepak di peringkat negeri perlu diteruskan meskipun tanggungjawab itu diambil alih pihak swasta atau persendirian. Perlis FC diberi kepercayaan oleh Persatuan Bolasepak Melayu Perlis untuk mewakili negeri ini pada saingan Piala Emas Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung pada September. Ini satu permulaan yang baik bagi persiapan pasukan dan pemain Perlis FC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 7:31 AM