Ahmad Amizal anggap ada unsur sabotaj. FOTO NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ahmad Amizal anggap ada unsur sabotaj. FOTO NSTP/ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menyifatkan kenyataan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung isu tunggakan gaji seolah-olah mahu mensabotaj dan menidakkan hak skuad Singa Utara untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

“Seolah-olah ada unsur sabotaj,” kata Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad mengulas mengenai kenyataan PFAM yang membidas badan induk itu berhubung isu tunggakan gaji yang membelenggu mereka sebelum ini, semalam.

Menurutnya, isu membabitkan tunggakan gaji bagi musim 2018 sudah diselesaikan dengan mekanisme yang sudah dipersetujui dengan semua pemain namun beliau mengakui timbul masalah membabitkan tunggakan bagi musim 2016 dan 2017.

“Bagi pemain pada musim 2016 dan 2017 mahupun sebelumnya, mereka tidak tertakluk dengan pengurusan baharu namun atas dasar tanggungjawab, saya cuba membantu mereka menyelesaikan masalah ini.

“Jadi, kami sedang mengumpul dokumen yang berkaitan dan kontrak mengenai pemain terdahulu sebelum kami boleh mengambil tindakan. Berilah kami ruang dan masa kerana kami sememangnya tidak mahu lepas tangan terhadap isu ini.

“Cuma apabila kenyataan dikeluarkan PFAM semalam, saya rasa kecewa kerana bukan hanya Perlis berdepan masalah sama, ada lagi pasukan lain turut mengalami masalah ini tetapi hanya Perlis sahaja yang ditekankan dalam kenyataan itu.

“Sebagai presiden PFA, saya beranggapan ini seolah-olah mahu mensabotaj dan cuba menidakkan hak Perlis untuk beraksi dalam Liga Perdana. Apapun, ia boleh diselesaikan dalam suasana yang harmoni dan secara profesional,” kata Amizal pada sidang media Majlis Pengenalan Safee Sali sebagai Pemain Perlis di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut berhubung kedudukan kewangan pasukan itu, Amizal menegaskan mereka mempunyai belanjawan yang mencukupi untuk semua pasukan di bawah pengurusan PFA sehinggalah berakhirnya musim 2019.

“Kita tidak memiliki dana yang besar tetapi saya memberi jaminan pasukan ini akan terus beraksi sehingga penghujung musim 2019. Kita bukan pasukan yang ada bajet selama tiga bulan dan kemudiannya baru mencari dana tambahan.

“Kita cuba menjadikan Perlis sebagai sebuah syarikat, jadi sudah tentu akan ada keuntungan dan kerugian, Apapun, bagi sepanjang musim 2019 juga, kita akan mencari jalan menjana pendapatan supaya sekurang-kurangnya kita mendapatkan kembali modal yang sudah dikeluarkan,” katanya.

Meskipun enggan mendedahkan jumlah perbelanjaan untuk pasukan utama Perlis, Amizal memberi bayangan pasukan itu hanya berbelanja kurang daripada RM10 juta.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 5:47 PM