HARRIF (kiri) menjawab soalan wartawan sambil diperhatikan Zamri Salleh (kanan) pada sidang Media Le Tour Langkawi 2019 di Hotel Berjaya Times Square. FOTO Rosdan Wahid
HARRIF (kiri) menjawab soalan wartawan sambil diperhatikan Zamri Salleh (kanan) pada sidang Media Le Tour Langkawi 2019 di Hotel Berjaya Times Square. FOTO Rosdan Wahid
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Gandingan adik-beradik menjadi taruhan Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) dalam memburu kemenangan peringkat dan jersi Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang bermula hari ini.

Kapten TSG, Mohd Zamri Saleh bersedia membantu adiknya, Mohd Harrif melunaskan impian yang disimpannya pada penampilan ke-10 di LTdL.

“Paling utama dia mengharapkan menang peringkat perlumbaan...untuk menjadi nombor satu. Dia ada meluahkannya kepada saya kerana kejayaan seorang pelumba tempatan memenanginya di LTdL adalah sesuatu yang hebat. Bukan calang-calang pelumba mampu meraihnya.

“Sebelum ini dia hanya meraih tempat kedua dan ketiga, tidak pernah muncul juara peringkat. Saya fikir ini adalah masa yang sesuai dan kita perlu mengambil kesempatan ketiadaan pasukan Pro Tour kali ini,” katanya.

Sejarah LTdL sejak kali pertama dianjurkan pada 1996, hanya Anuar Manan pernah memenangi perlumbaan peringkat pada edisi 2010 selain turut memenangi jersi Raja Pecut pada tahun sama ketika bersama pasukan Geumsan Ginseng Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 8:03 AM