Tengku Kamil (tengah) bergambar bersama skuad Pahang yang menyertai Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS 2019. FOTO Asrol Awang.
Tengku Kamil (tengah) bergambar bersama skuad Pahang yang menyertai Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS 2019. FOTO Asrol Awang.
Asrol Awang


PERSATUAN Badminton Pahang (PBP) sasar johan keseluruhan Divisyen Tiga Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS 2019.

Presiden PBP, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah berkata, sekiranya berjaya mencapai sasaran itu, Pahang akan bersaing dalam Divisyen Dua kejohanan itu, tahun depan.

Menurutnya, kejayaan muncul johan keseluruhan siri pertama Divisyen Tiga diharap diteruskan apabila beraksi pada siri kedua kejohanan sama yang berlangsung di Kuantan pada 1 hingga 5 Mei depan.

"Pahang yang beraksi dalam Divisyen Tiga tahun ini diyakini mampu mencatat keputusan lebih baik selepas siri pertama mencatat kejayaan membanggakan di Putrajaya, baru-baru ini.

"Keputusan membanggakan pada sirkit pertama membuktikan bahawa 22 pemain yang terpilih bagi setiap kategori mampu memberi saingan.

Tengku Kamil (tiga dari kiri) bersama skuad Badminton Pahang.
Tengku Kamil (tiga dari kiri) bersama skuad Badminton Pahang.

"Kelebihan beraksi sebagai tuan rumah diharap membantu untuk mencapai sasaran mengutip lapan emas, sekali gus muncul johan keseluruhan," katanya ketika ditemui pada majlis minum petang di Kuantan, hari ini.

Pada siri pertama yang berlangsung di Putarajaya baru-baru ini, Pahang meraih 14 pingat, masing-masing tujuh emas dan tujuh gangsa bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 12, 14 dan 16 tahun.

Kelantan dan Putrajaya, masing-masing memenangi dua emas, manakala Terengganu memperolehi satu emas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 7:17 PM