AKSI Piya (kiri) ketika beraksi dengan Kelantan.
AKSI Piya (kiri) ketika beraksi dengan Kelantan.
Attirmidzie Rahman


BEKAS kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali Piya perlu berurusan dengan Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kes tunggakan gaji dan kontrak beliau bersama The Red Warriors (TRW).

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan (gambar) berkata, pihaknya sudah berunding dengan KRW, namun enggan mendedahkan butiran perjanjian berhubung kes tunggakan gaji Piya.

Katanya, KAFA pernah mengeluarkan surat makluman kepada Piya pada 24 Februari lalu berhubung tuntutan bayaran tunggakan gajinya akan dibayar KRW.

“KAFA sudah berikhtiar sebaik mungkin menyelesaikan kes tunggakan gaji Piya dan tidak berniat untuk menganiayai bekas pemain yang banyak berjasa dengan pasukan kelahirannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta Piya berhenti menuding jari terhadap persatuan itu yang didakwa gagal melangsaikan tunggakan gajinya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan. FOTO File NSTP.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan. FOTO File NSTP.

Menurutnya, melalui perjanjian yang ditandatangani pada 24 Januari lalu, segala urusan pembayaran gaji pemain pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia kini berada di bawah tanggungjawab pengurusan KRW sepenuhnya.

“KAFA hanya bertanggungjawab dalam soal pembangunan bola sepak peringkat akar umbi dan persatuan bolasepak jajahan saja,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Piya mendakwa KAFA sehingga kini masih ‘berhutang’ RM180,000 kepadanya.

Piya berkata, selain digantung tidak bertali apabila disisihkan daripada pasukan, dia juga hanya menerima gaji terakhir pada April tahun lalu walaupun kontraknya sah hingga November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 7:01 AM