Farah Ayuni Yahya aktif dalam hoki bersama PDRM.
Farah Ayuni Yahya aktif dalam hoki bersama PDRM.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas penjaga gol utama skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya masih belum memikirkan soal masa depannya termasuk persaraan meskipun namanya tidak tersenarai dalam 30 pemain yang dipanggil menyertai sesi latihan skuad kebangsaan.

Sebaliknya jelas Farah, dia tetap aktif dalam sukan itu bersama pasukan majikannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain memberi tumpuan kepada kerjaya hakikinya selaku seorang inspektor.

"Sekarang saya lebih beri tumpuan kepada kerjaya, tak macam dahulu apabila perlu beri tumpuan sebagai atlet dan tugas anggota polis.

"Untuk karier sebagai pemain hoki, biarlah masa akan menentukannya," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Mengulas keputusan ketua jurulatih, Nasihin Nubli yang tidak memilihnya dalam senarai 30 pemain kebangsaan, Farah dilihat bersikap terbuka.

"Bagi saya mungkin tak ada rezeki. Jurulatih mempunyai hak untuk memilih barisan pemain yang dimahukannya.

"Memang rindu nak beraksi bersama skuad kebangsaan kerana saya sudah mewakili negara sejak 2007 lagi," katanya.

Jelas Farah, dia berasakan masih mampu beraksi pada perlawanan kompetitif antara dua hingga tiga tahun lagi.

Farah adalah penjaga gol wanita terbaik negara yang pernah dilahirkan apabila dinobatkan selaku penjaga gol terbaik Asia sebanyak dua kali di saingan Trofi Juara-Juara Asia.

Dia juga mempamer aksi cemerlang ketika beraksi bersama kelab East Grinstead di Liga Perdana England apabila menjadi pilihan utama dan membantu kelab itu muncul naib juara liga musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 7:00 PM