AKSI Silva menjaringkan gol pertama City ketika menentang Swansea. - FOTO Reuters
AKSI Silva menjaringkan gol pertama City ketika menentang Swansea. - FOTO Reuters
AFP

BERNARDO Silva berkata, dia mahu mencipta sejarah bersama Manchester City selepas membantu pendahulu Liga Perdana itu kekal dalam misi meraih empat kejuaraan.

Silva menyalakan impian City selepas memainkan peranan utama membantu kebangkitan skuad Pep Guardiola yang ketinggalan dua gol sebelum menewaskan Swansea City 3-2 dalam aksi suku akhir Piala FA, semalam.

Silva bukan sahaja menjaringkan gol pertama City malah memberi bantuan kepada gol kemenangan saat akhir oleh Sergio Aguero untuk memastikan impian menjulang Piala FA, Liga Perdana, Liga Juara-Juara kekal dalam jangkauan di samping trofi Piala Liga yang telah berada dalam kabinet mereka.

"Semua pemain dapat merasakan musim ini akan menjadi istimewa,” kata Silva.

"Musim lalu ia istimewa selepas menjuarai Liga Perdana, musim ini juga turut istimewa kerana kami telah pun menjuarai satu kejohanan dan memburut tiga lagi,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

"Kami boleh menang tiga atau tewas semuanya. Jadi ia sangat sukar, kami tahu bulan lalu dan sehingga saat ini ia akan menjadi lebih sukar.

"Tetapi kami akan berusaha mencipta sejarah kelab tetapi tidak boleh ambil mudah setiap cabaran.”

Dalam masa yang sama, pemain tengah Portugal itu turut teruja dengan cara City menewaskan Swansea.

"Lawan kami membuatkan kami sukar untuk menjulang trofi musim ini tetapi kami berjaya mengharunginya dan berusaha mengekalkan momentum ini,” kata Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 12:23 PM