Guardiola (kiri) sandarkan Silva mengerahkan jentera tengah City. FOTO Agensi
Guardiola (kiri) sandarkan Silva mengerahkan jentera tengah City. FOTO Agensi
Agensi

PEP Guardiola berjaya membawa permainan Bernardo Silva ke satu tahap berbeza di Manchester City, kata legenda Portugal, Nuno Gomes.

Silva menyertai City dari Monaco untuk £46.3 juta (RM250.4 juta) pada Mei 2017 selepas menjuarai gelaran Ligue 1.

Dia kemudian menjadi watak penting dalam pasukan itu, yang dibimbing Guardiola memenangi enam daripada tujuh gelaran utama domestik yang ditawarkan, termasuk dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut.

Silva diundi sebagai pemain tahunan terbaik City bagi musim 2018-2019 dan membantu Portugal menjulang trofi Liga Negara-Negara Eropah pada aksi final di gelanggang sendiri.

Gomes memberitahu Stats Perform News bahawa dia amat meminati pemain berusia 25 tahun itu.

"Bagi saya buat masa ini, Benardo adalah salah seorang pemain terbaik yang ada di Portugal." katanya.

"Di bawah kendalian Pep di mempamerkan banyak peningkatan. Saya percaya Guardiola sudah berkata banyak kali bahawa dia amat meminati Bernardo Silva.

"Malah saya percaya Bernardo Silva sedar bahawa dia memiliki kepercayaan dan keyakinan daripada jurulatihnya.

"Justeru dia dapat turun ke padang dan bermain dengan bersahaja, kerana dia memiliki bakat semula jadi."

Skuad bimbingan Guardiola akan melayan kunjungan Arsenal awal pagi Khamis ini apabila Liga Perdana Inggeris kembali bersambung selepas ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 2:07 PM