Turin: Andrea Pirlo akhirnya kembali berada pada tahap terbaik bersama Juventus, tepat pada masanya bagi perlawanan yang mungkin menentukan sama ada mereka layak atau tidak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Selepas dua kekalahan 0-1 berturut-turut di tangan Atletico Madrid dan Olympiakos dalam Kumpulan A di tempat lawan, pendahulu Serie A itu menerima kunjungan kelab Greece terbabit awal pagi esok sambil menyedari satu lagi kesilapan akan menyaksikan mereka tersingkir pada peringkat kumpulan sekali lagi.

Sekalipun Paul Pogba, Claudio Marchisio dan Arturo Vidal memberikan Juventus banyak pilihan di bahagian tengah, mereka mungkin tidak sama tanpa Pirlo yang mengemudi mereka menjuarai Serie A tiga tahun berturut-turut sejak berpindah dari AC Milan pada 2011.

Perancang utama berusia 35 tahun itu mengalami saat sukar selepas terlepas enam minggu pertama musim ini akibat kecederaan, namun persembahan lebih bertenaga menentang Empoli termasuk gol sulung musim ini menerusi sepakan percuma, meningkatkan keyakinannya.

“Saya makin meningkat, bekerja keras sepanjang minggu dan ia perkara paling penting,” jelas Pirlo selepas kemenangan 2-0 Sabtu lalu dan membantu Juventus memiliki kelebihan tiga mata di puncak Serie A.

“Saya berasa bagus selepas setiap perlawanan dan harap kembali berada di puncak prestasi tidak lama lagi.”

Jurulatih Massimiliano Allegri bersetuju.

“Saya fikir Andrea hampir kembali ke prestasi terbaiknya, dia perlu bermain dan beraksi dengan baik dalam tempoh 65 minit,” ujarnya.

“Andrea beraksi di Piala Dunia, mengalami kecederaan, dia tidak beraksi 40 hari. Dia memecah kebuntuan gol dan saya fikir ia juga baik dari segi psikologi selepas persembahan yang tidak menepati tahapnya. Dia mampu melakukan sesuatu menerusi set-piece.”

Allegri mengemudi Milan ketika Pirlo berpindah ke Juventus dan kehadiran jurulatih itu di Juve Julai lalu mencetus spekulasi mengenai hubungan mereka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:03 AM