Pemain Terengganu FC II, Shukur Jusoh dihalang tiga pemain UKM FC dalam aksi Liga Malaysia baru-baru ini.
Pemain Terengganu FC II, Shukur Jusoh dihalang tiga pemain UKM FC dalam aksi Liga Malaysia baru-baru ini.
Malik Muhamad


DUA misi penting menjadi buruan pemain tengah Terengganu FC II (TFC II), Shukur Jusoh apabila pasukannya bertandang ke Stadium Likas, Kota Kinabalu bertemu Sabah pada aksi ketiga saingan Liga Perdana esok.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu berusia 30 tahun itu berkata, setiap yang diturunkan pasti mempunyai matlamatnya tersendiri selain pasukan sebagai dorongan untuk memperagakan aksi lebih baik.

"Misi pertama saya adalah untuk mengekalkan momentum kemenangan pasukan buat kali ketiga berturut-turut untuk teruskan penguasaan di persada liga manakala misi kedua untuk menjaringkan gol selepas sekian lama tidak melakukannya.

"Seingat saya kali terakhir menghasilkan jaringan ketika mewakili pasukan FELDA United pada 2016 sebelum menyarung jersi Terengganu pada 2017 dan kini TFC II," katanya.

TFC II yang kini memimpin carta Liga Perdana dengan mengutip enam mata berjaya merekod dua kemenangan selepas menewaskan Pulau Pinang 3-2 dan Selangor United 1-0.

Mengulas gandingannya dengan awang import dari Ivory Coast, Dechi Marcel di posisi tengah, bekas pemain kebangsaan itu mengakui belum begitu serasi sepenuhnya dengan pemain berkenaan.

"Selepas dua perlawanan, saya belum serasi lagi dengan Marcel, kami perlu lebih banyak lagi komunikasi dan saya perlu tahu gaya permainan pemain itu walaupun pemain itu agak pendiam.

"Bagaimanapun saya tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk kami tidak memperagakan aksi terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 12:03 PM