Dechi Marcel. FOTO KDA FC
Dechi Marcel. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan bekas pemain Terengganu FC, Dechi Marcel atau digelar 'Kante' sebagai tonggak import kedua Hijau Kuning bagi menghadapi aksi Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Kehadiran pemain kelahiran Ivory Coast berusia 30 tahun itu dijangka dapat memberi suntikan yang lebih 'menyengat' untuk gerakan serangan buat skuad Hijau Kuning pada musim depan.

Marcel pemain lincah yang memiliki kawalan bola baik dan pernah beraksi bersama UiTM FC, Terengganu FC II (TFC II) sebelum diserapkan ke skuad Terengganu FC (TFC) pada musim ini.

Penyertaan Marcel ke KDA FC dikongsi media kelab berkenaan sebentar tadi selepas memuat naik klip video pengenalan yang membayangkan penyertaan Marcel bersama Kedah beberapa jam sebelum itu.

"Seterusnya, 'darah' baharu kini sudah hadir, selamat datang ke keluarga Hijau Kuning."

"Aksi cemerlang beliau mendapat perhatian pasukan pantai timur apabila diikat selama tiga tahun dengan Terengganu FC dan pada musim lepas, Dechi Marcel menunjukkan 'belang'nya yang sebenar dengan aksi berkualiti dalam mengatur serangan serta menjaringkan gol-gol penting membantu pasukannya ketika itu.

"Dechi Marcel N'Guessan, berjuanglah sejiwa murni, tekun berani sesungguh hati." katanya.

Marcel menjadi pemain import kedua diumumkan skuad Hijau Kuning selepas sah mengikat pemain Korea Selatan, Jang Suk Won sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:08 PM