KEDUDUKAN Lampard (kanan) dalam bahaya jika Chelsea terus merosot manakala Tuchel (kiri) calon pilihan menggantikannya. FOTO Agensi
KEDUDUKAN Lampard (kanan) dalam bahaya jika Chelsea terus merosot manakala Tuchel (kiri) calon pilihan menggantikannya. FOTO Agensi
Agensi

London: Chelsea bersedia mendapatkan khidmat Thomas Tuchel jika pengurus, Frank Lampard gagal mengubah nasib pasukan.

Lampard berdepan tekanan menggunung susulan kemerosotan prestasi skuad tetapi laporan media mendakwa kedudukannya masih selamat buat masa ini.

Tetapi pemecatan mengejut Tuchel oleh Paris Saint-Germain bulan lalu membuka mata pengurusan di Stamford Bridge dengan kemungkinan berlaku perubahan pada musim panas jika keputusan perlawanan terus mengecewakan.

Chelsea tewas 1-3 kepada Manchester City semalam yang juga kekalahan keempat dalam enam perlawanan.

Lampard tinggal separuh daripada kontrak tiga tahunnya dan menegaskan kemerosotan prestasi ketika ini sebahagian daripada proses pembangunan skuad selepas membelanjakan £220 juta (RM1.210b) tahun lalu untuk mendapatkan enam pemain baharu.

Tuchel pula membawa PSG ke final Liga Juara-Juara musim lalu dan dikaitkan dengan Arsenal sebelum Mikel Arteta dipilih sebagai pengurus.

Difahamkan pendendali dari Jerman berusia 47 tahun itu berminat dengan tugas seterusnya di Liga Perdana.

Pemilik Blues, Roman Abramovich terkenal dengan 'hobi' menukar pengurus dengan Lampard adalah pengurus ke-13 sejak bilionair Russia itu mengambil alih kelab pada 2003.

Sebelum Lampard, Maurizio Sarri hanya bertahan semusim manakala pengurus sebelumnya, Antonio Conte mengendalikan kelab selama dua tahun walaupun kerap mengkritik pengurusan mengenai perpindahan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 8:45 AM