Bonnie (tengah) menerima pingat dan cenderamata dalam Kategori Junior.
Bonnie (tengah) menerima pingat dan cenderamata dalam Kategori Junior.
Azlan Muhammad Zain


Atlet para negara, Bonnie Bunyau Gustin terlepas peluang meraih emas berganda apabila kecundang dengan perbezaan angkatan satu kilogram di Kejohanan Powerlifting Para Piala Dunia edisi ke-10 di Dubai, semalam.

Dia terpaksa akur sekadar meraih perak dengan angkatan 190 kilogram (kg) untuk menduduki tempat kedua kategori senior, hanya dibezakan satu kilogram dengan lawan dari Algeria, Hocine Bettir yang melakukan 191 kg.

Bagaimanapun angkatan 190 kg sudah mencukupi untuk atlet berusia 20 tahun itu mempertahankan emas dalam kategori remaja selepas turut menjuarainya pada edisi tahun lalu.

"Ia permulaan yang bagus untuk saya pada tahun ini kerana hanya perbezaan satu kilogram dengan juara kategori senior.

Malah membaiki pencapaian tahun lalu apabila menduduki tempat ketiga," jelas atlet kelahiran Sarawak itu.

Tambah Bonnie yang beraksi dalam kategori 65 kg, dia memulakan angkatan dengan 170 kg disusuli 180 kg dan yang terakhir 190 kg.

"Ia petanda yang baik dan motivasi untuk saya menghadapi Kejohanan Dunia di Kazakhstan pada Julai nanti.

“Malah saya meletakkan sasaran peribadi untuk meraih emas di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo," tambahnya.

Bonnie sudah membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa apabila meraih perak di Sukan Para Asia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 4:31 PM