MEGAT D Shariman harap momentum atlet powerlifting diteruskan sehingga Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
MEGAT D Shariman harap momentum atlet powerlifting diteruskan sehingga Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yakin kontinjen negara akan melakukan lebih banyak kejutan pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos depan.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang juga ketua kontinjen ke temasya sukan berkenaan berkata, ramalan itu selepas melihat kejayaan diraih atlet negara pada beberapa kejohanan sebelum ini.

Terbaru tiga atlet powerlifting negara meraih emas di Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2021 di Bangkok Thailand sekali gus menyaksikan kontinjen Malaysia menamatkan penyertaan mereka di tempat ketiga.

"Saya lihat pihak persatuan dan atlet sememangnya bekerja keras dan mereka berhak mendapat pujian. Kita harus teruskan momentum ini sehingga Sukan Paralimpik di Tokyo.

"Insya-Allah kontinjen negara akan melakukan kejutan lebih banyak di sana nanti. Saya harap kejayaan atlet powerlifting ini akan menjadi pemangkin semangat kepada atlet lain untuk lebih menyerlah," katanya.

Semalam atlet powerlifting negara Nicodemus Manggoi Moses memenangi pingat emas ketiga selepas mendominasi acara lelaki lebih 88 kilogram (kg) dengan angkatan 190 kilogram (kg).

Sebelum itu dua lagi atlet negara, Bonnie Bunyau Gustin dan Bibiana Ahmad memenangi emas dalam acara masing-masing.Bonnie mengangkat 226kg untuk menang emas acara lebih 72kg manakala Bibiana mengangkat 80kg untuk memberikan emas kedua negara bagi acara wanita lebih 67kg.

Bonnie adalah antara 10 atlet para yang sudah mengesahkan penyertaan ke temasya Paralimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 4:42 PM